KUALA NERUS – Pensyarah Biodiversiti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dinobatkan Johan bagi Anugerah Pengajaran Transformatif: Tanpa Syarahan dan seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 10,000.00.

Prof. Madya Dr. Faridah Mohamad yang juga merupakan pengerusi program Sarjana Muda Sains Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB. Dr. Maszlee Malik di Kuala Lumpur, 14 Disember lalu.

Menurut Prof. Madya Dr. faridah Mohamad, beliau mengetengahkan kaedah pembelajaran menggunakan peralatan permainan bagi menarik minat pelajar.

“Saya bawakan transformasi kaedah pengajaran Dichotomie le Toys: Satu kaedah penggunaan haiwan mainan plastik dalam meningkatkan kemahiran Pembinaan Kekunci Dikotomi Pengkelasan Haiwan di kalangan pelajar Biodiversiti. Alhamdulillah, kaedah ini memberi impak sangat baik dan diterima oleh pelbagai pihak”.

Anugerah Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2018 (AKRI 2018) anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia itu merupakan kurikulum dinamik yang merangkumi kaedah penyampaian terkini, pentaksiran alternatif dan persekitaran pembelajaran interaktif yang direka bentuk untuk menyokong pengalaman pembelajaran bagi mencapai hasil pembelajaran yang responsif kepada perubahan serta keperluan negara dan global.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas atas kejayaan diperoleh dan mengharapkan agar menjadi inspirasi dan pembakar semangat kepada warga UMT untuk terus mencipta kejayaan dimasa akan datang.

 

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu