UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Pengiktirafan UMT Diving School sebagai Dive Center Lima Bintang

Pengiktirafan UMT Diving School sebagai Dive Center Lima Bintang

Tuesday, 30/08/2022

Share This Article :

Penubuhan

Aktiviti selaman skuba di UMT mempunyai sejarah yang panjang iaitu selari dengan sejarah penubuhan UMT itu sendiri. Ketika kampus UMT masih dikenali sebagai kampus cawangan UPM Terengganu, satu unit khusus iaitu unit selam skuba telah diwujudkan bagi membantu pelajar mendapatkan sijil selaman rekreasi open water diver. Manakala, semasa era UMT, terdapat keperluan untuk menwujudkan Diving School memandangkan aktiviti selaman skuba telah berkembang fungsinya dengan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti selaman rekreasi sahaja. UMT Diving School dibawah seliaan Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) UMT, Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari memaklumkan bahawa penubuhan         Diving School ketika era UMT bermula secara organiknya melalui penubuhan UMT Dive Centre pada tahun 2018 iaitu melalui satu kelulusan yang telah diberikan oleh Mesyuarat Pengurusan Universiti (MPU). Selepas UMT Dive Center diwujudkan secara rasmi, pihak pengurusan UMT telah mengarahkan agar peralatan-peralatan selaman skuba dipusatkan agar proses perolehan, penyelenggaraan dan pemantauan lebih mudah dilakukan. UMT Diving School menjadi satu realiti pada 8 Ogos 2022 melalui satu majlis perasmian di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT Pulau Bidong oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.

 

Peranan

UMT Dive Center telah menjadi antara penyumbang utama kepada aktiviti-aktiviti bersifat citra dan endowment universiti. UMT Diving School mempunyai peranan yang sangat luas kerana ianya tidak sekadar berfungsi sepertimana pusat-pusat selam skuba yang biasa yang terdapat di pusat-pusat peranginan dan resort-resort. UMT Diving School menawarkan perkhidmatan yang lebih holistik iaitu membantu aktiviti pengajaran dan pembelajaran universiti, penyelidikan, penjanaan dan citra universiti.

 

Pengiktirafan

Pengiktirafan UMT Diving School sebagai pusat selaman skuba lima bintang daripada Scuba School International (SDI) mampu memberikan nilai tambah dan melonjakkan keterlihatan UMT diperingkat nasional dan global. Seterusnya ianya mampu menaiktaraf kefungsian UMT Diving School bagi memberi impak positif dalam mengetengahkan inisiatif pemuliharaan ekosistem bawah air. Fungsi ini adalah bersesuaian dengan perlantikan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja sebagai duta konservasi UMT. Kewujudan UMT Diving School juga telah membuka satu dimensi baharu bagi memperkasakan pelancongan pendidikan atau edutourism di negeri Terengganu melibatkan aktiviti selam skuba.

 

Keterlihatan UMT di dalam aktiviti selaman skuba telah diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila Ketua Bahagian, Bahagian Selaman dan Lapangan UMT iaitu En. Baharim Mustapa telah diangkat sebagai salah seorang daripada working group ISO antarabangsa. Pengiktirafan yang diberikan sebagai pusat selaman skuba lima bintang diberikan kepada UMT Diving School adalah bertitik tolak daripada penganugerahan UMT sebagai entiti yang telah menghasilkan pelajar selaman scuba SDI yang paling ramai pada tahun 2018. Anugerah ini telah disampaikan oleh regional SDI.

 

Halatuju

Sebagai satu entiti selaman profesional, UMT Diving School akan mengorak langkah bagi memperkasakan beberapa bidang selaman skuba yang penting iaitu selaman berkonsepkan edu-tourism, arkeologi bawah air, latihan-latihan selaman berfokus, penyelam perubatan dan selaman saintifik. Perancangan jangka panjang UMT Diving School adalah untuk mendapatkan pengiktirafan daripada agensi-agensi kerajaan dan badan antarabangsa sebagai pusat latihan terkemuka di dalam bidang selaman skuba.

 

Kemudahan

Fungsi khusus UMT Diving School adalah menyediakan perkhidmatan perlesenan selaman skuba bagi pelajar-pelajar UMT dengan kadar yang berpatutan. Selain itu, UMT Diving School turut berperanan memberikan latihan bagi agensi-agensi kerajaan dan swasta yang berminat dalam aktiviti selaman skuba bagi memenuhi tuntutan kerjaya dan juga rekreasi. Di antara kemudahan-kemudahan yang ditawarkan oleh UMT Diving School adalah sewaan peralatan selaman scuba, fotografi dan videografi bawah air serta perkhidmatan salvaj dan eskavasi arkeologi bawah air.

 

Impak

Pengiktirafan ini memberi impak secara langsung kepada UMT memandangkan universiti ini merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang mendapat pengiktirafan pusat selaman skuba bertaraf lima bintang di Malaysia. UMT akan menjadi pelopor kepada aktiviti selaman selamat yang berteraskan garis panduan dan piawaian yang digariskan oleh badan antarabangsa.

 

Universiti Awam Pertama Peroleh ISO

Selain UMT merupakan universiti awam pertama yang memperolehi ISO 9001:2015 (Kualiti Sistem Pengurusan) bagi pengurusan latihan berkaitan perlesenan skuba perkhidmatan pendidikan. Rentetan daripada pensijilan ISO tersebut, UMT Diving School telah memperolehi sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records. Wakil daripada UMT Diving School telah mewakili Malaysia di bawah Jabatan Standard Malaysia bagi membangunkan ISO peringkat dunia berkaitan selaman skuba.

 

Harapan

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata UMT turut berperanan dalam mendidik masyarakat menghargai ekosistem marin.

 

UMT akan sentiasa memainkan peranan dalam mendidik masyarakat untuk menghargai populasi hidupan marin seperti spesis ikan Inggu dan mengawal aktiviti pencerobohan. UMT Diving School akan terus diperkasa bagi menyokong pelaksanaan proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, bertepatan dengan bidang tujahan UMT.

 

“Tahniah buat Centre of Research and Field Service – CRAFS, UMT dan Warga UMT Cemerlang sekalian atas usaha serta komitmen yang diberikan sehingga berjaya menerima pengiktirafan ini”.

 

Harapan tinggi turut diberikan kepada warga UMT agar sentiasa memberikan komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam menyokong pembangunan dan idea dalam usaha meletakkan institusi ini sebaris dengan university terkemuka lain khususnya melalui aktiviti selam skuba di Pulau Bidong yang penuh dengan warisan sejarah, keunikan alam semulajadi dan arkeologi bawah air.

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu