UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

BERAYA SAMBIL BERKEMPEN SELAMATKAN BUMI

BERAYA SAMBIL BERKEMPEN SELAMATKAN BUMI

Sunday, 29/05/2022

Share This Article :

Kuala Nerus, 29 Mei 2022 – Bertemakan Raya Keluarga Malaysia@UMT dengan mengetengahkan konsep Aidilfitri Lestari – “Bring Your Own Plate”, UMT tampil mencipta kelainan sambutan hari raya kali ini melalui kempen Selamatkan Bumi dengan membawa bekas makanan sendiri atau mengatakan “tidak” kepada polisterina.

 

Konsep ini bertujuan untuk mengurangkan penggunaan polisterina atau plastik serta memberi kesedaran kepada warga UMT terhadap kepentingan menjaga alam sekitar, berikutan penggunaan polisterina tanpa kawalan membawa kepada kemusnahan ekosistem alam serta mengancam hidupan marin.

 

Naib Canselor UMT, Profesor Dato` Dr. Mazlan bin Abd Ghaffar berkata konsep ini adalah salah satu cara kita memainkan peranan untuk alam sekitar.

 

“Dengan membuat perubahan kecil dalam kehidupan seharian kita, kita dapat membantu membina negara yang lebih hijau dan lebih mampan untuk generasi-generasi seterusnya.”

 

Tambahnya kesan jangka panjang penggunaan plastik yang merupakan bahan pepejal sukar diurai di dalam tanah menyebabkan tanah menjadi berasid dan tidak sesuai untuk pertanian.

 

“Membawa bekas makanan sendiri juga menyokong salah satu elemen dalam kempen kesedaran 3R (Reduce, Reuse, Recycle) yang merujuk kepada pengurangan sisa yang dijana termasuklah sisa plastik. Ujarnya.”

 

Menyambut baik konsep yang diketengahkan ini, Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas (PERENTAS), UMT tampil menaja bekas makanan untuk jamuan Aidilfitri ini dalam mengekalkan kelestarian bumi.  “Mangkuk tingkat” yang diagihkan kepada warga UMT tersebut disampaikan oleh Tuan Mohd Najwa Fuad bin Tuan Man, selaku setiausaha Agung PERENTAS.

 

Menurutnya sumbangan ini merupakan tanda sokongan persatuan tersebut dalam memelihara kelestarian alam disamping meraikan syawal bersama warga UMT dengan lebih bermakna.

 

Raya Keluarga Malaysia@UMT turut meraikan 54 orang anak yatim yang terpilih disekolah-sekolah sekitar UMT serta Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar. Duit raya untuk anak-anak yang diraikan tidak dilupakan dan disampaikan oleh Profesor Dato` Dr. Mazlan sendiri.

 

Kemeriahan sambutan raya tahun ini diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan poster raya antara Pusat Tanggungjawab (PTj), pertandingan gerai berhias, pakaian tercantik dan banyak lagi aktiviti menarik disediakan. Ditambah pula dengan kehadiran hampir 2000 warga UMT dan tetamu jemputan.

 

Kemeriahan dan kegembiraan jelas terpancar di wajah warga UMT, tambahan selama dua tahun suasana sebegini tidak dirasai akibat penularan wabak COVID-19.

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu