UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Kuala Nerus bandar lestari, penuh daya tarikan

Kuala Nerus bandar lestari, penuh daya tarikan

Tuesday, 31/05/2022

Share This Article :

Oleh Mohd Izham Mohd A Wahid

bhnews@bh.com.my

[Disiarkan dalam ruangan Perspektif, Berita Harian, 15 Mei 2022]

 

Kuala Nerus, daerah kelapan di Terengganu berkeluasan hampir 40,000 hektar, dengan populasi penduduk dalam lingkungan 157,900 orang mempunyai pelbagai tarikan tersendiri.

Sebelum diisytiharkan sebagai daerah Kuala Nerus lagi, kawasan ini dinamakan sebagai Kuala Terengganu Utara dalam beberapa urusan pentadbiran kerajaan.

Berdasarkan Rancangan Kawasan Khas 2014 – 2025 Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), kawasan ini dirancang berkonsepkan Bandaraya Moden dan Hijau dengan pelan susunatur yang mesra kepada aktiviti riadah dan rekreasi termasuk aktiviti air.

Beroperasi secara berperingkat dan dengan adanya Taman Tasik di situ menarik orang ramai untuk datang beriadah bersama keluarga, selain menjadi lokasi penganjuran acara berbasikal atau larian di setiap hujung minggu.

Kuala Nerus berupaya menjadi model bandar raya moden dan mempunyai ciri – ciri sebagai pusat pentadbiran di dalam komuniti yang lestari. Kemudahan yang disediakan mesra alam sekitar, boleh disesuaikan dengan aktiviti riadah dan rekreasi.

Zon pendidikan

Daerah ini juga lebih dikenali sebagai zon pendidikan dan pengajian tinggi, lokasi pelancongan utama, hos untuk acara sukan dan rekreasi, tempat makan yang menarik serta unik.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terletak dalam Kuala Nerus diduduki hampir 10,000 orang pelajar dan kakitangan, selain pusat IPT lain menambah bilangan komuniti menghidupkan Gong Badak dan kawasan sekitarnya.

Stesyen Penyelidikan Alami di Pulau Bidong, dan Sea Turtle Research Unit (SEATRU) di Chagar Hutang, Pulau Redang, selain pusat IPT lain terletak di sini.

Lokasi sukan lasak

Bagi pengembara melalui pengangkutan udara menggunakan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), sebagai hub udara komersial di negeri ini.

Kuala Nerus adalah daerah pertama yang menyambut kehadiran tetamu ke Terengganu. Imej dan ekspresi para pelancong akan dipengaruhi melalui pandangan pertama terhadap suasana dan persekitaran bandarnya.

Bagi penggiat sukan rekreasi lasak, Bukit Maras menjadi lokasi pilihan untuk cabaran mendaki empat puncak bukitnya yang berketinggian antara 270 – 329 meter paras laut. Selain itu, puncak Bukit Jong, berketinggian 349 meter  merupakan puncak bukit tertinggi di daerah ini, turut menjadi lokasi sukan rekreasi mendaki.

Selepas menjejaki Pulau Bidong, mereka boleh mendaki sehingga ke puncak bukitnya yang menyajikan pemandangan laut dan pulau di sekelilingnya.

Bagi sukan lasak basikal dan ‘motorcross’ disediakan trek basikal lasak di Lingai – Bukit Sudu, manakala Pancur Kuin trek direka khas untuk sukan ‘motorcross’.

Pulau peranginan, pantai nan cantik

Di daerah ini, Pulau Redang terkenal sebagai pulau peranginan terulung di negara ini menjadi tarikan utama pelancong dalam dan luar negara.

Mempunyai jaluran pantai yang cantik dan bersih, antaranya pantai Seberang Takir, Teluk Ketapang, Tok Jembal sehingga ke pantai Pengkalan Maras dan Batu Rakit.

Tidak ketinggalan kawasan sawah padi yang diusahakan setahun sekali di Kampung Maras hingga ke Pecah Rotan dan Darat Batu Rakit memberikan pemandangan sawah hijau sehingga padi masak boleh dilihat sepanjang bulan November – Mac.

Kewujudan warung makan berkonsepkan menu tradisional seperti di Warung Belago Angin, Selera Tok Mi di Teluk Ketapang, Pok Nong Sotong Celup Tepung, serta Warung Seri Geylang lokasi popular untuk menjamu selera.

Antara tempat makan lain adalah Dapo Pata, di Tok Jembal atau menikmati Air Buah Pok Hassan, Bukit Tok Beng.

Tidak lengkap ke Kuala Nerus tanpa membawa pulang ole-ole berupa kerepok lekor atau kerepok keping.

Ingin bermalam, pilih sahaja banyak hotel, penginapan persendirian dan inap desa, selain kemudahan serba lengkap di Kompleks Sukan Gong Badak mempunyai Litar Pemotoran Lumba ‘Drag’ sesuai untuk pelbagai acara sukan termasuk peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.