UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT wujudkan forum khas bantu sektor perikanan

UMT wujudkan forum khas bantu sektor perikanan

Friday, 10/04/2020

Share This Article :

KUALA TERENGGANU, 10 April — Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal mewujudkan satu forum khas menerusi dalam talian, bagi membantu mereka yang terlibat dalam industri perikanan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
Ketua Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (Akuatrop) UMT, Prof Madya Dr Marina Hasan berkata, ‘Forum on Aquaculture Services’ (FORAS) itu adalah inisiatif UMT berkaitan perkhidmatan akuakultur, termasuk menyediakan khidmat nasihat dan bantuan kepakaran menggunakan aplikasi Webex.
 
“Melalui FORAS, semua pengusaha, penternak akuakultur dan nelayan, boleh bertanya soalan dan berinteraksi dengan pakar dan penyelidik dalam bidang akuakutur dan perikanan, dari Akuatrop UMT secara perbincangan dua hala.
 
“Buat permulaan, FORAS akan bersiaran selama sejam, dari 10 hingga 11 pagi setiap hari Ahad dan Selasa, dengan sesi pertama akan bermula 12 April ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Beliau berkata FORAS juga adalah percuma untuk berkongsi pengetahuan serta teknologi akuakultur kepada orang ramai, dan mereka yang berminat boleh menghubungi Akuatrop melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-10104582.
 
Di KOTA BHARU, Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan (KSKK) Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), menghulurkan bantuan kepada 50 pengayuh beca dan asnaf di sekitar Kota Bharu yang terkesan sepanjang tempoh PKP.
 
Yang DiPertua KSKK PKINK Nor Azuwan Salleh berkata, pihaknya bekerjasama dengan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Kelantan, untuk membantu meringankan beban golongan berkenaan yang hilang pendapatan susulan PKP.