UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT dan komuniti saling memerlukan

UMT dan komuniti saling memerlukan

Sunday, 03/04/2022

Share This Article :

Matlamat penubuhan universiti dan kepentingannya kepada masyarakat merupakan hubungkait yang tidak dapat dipisahkan. Gedung ilmu yang menghimpunkan ribuan pemikir sering dijadikan rujukan dalam pelbagai isu dan permasalahan demi pembangunan negara dan modal insan.

 

Kefahaman bahawa universiti perlu mengembalikan ‘ramuan’ yang terkini kepada masyarakat melalui proses transformasi tertentu seperti program pemindahan ilmu (knowledge transfer) yang relevan sesuai mengikut kumpulan dan peringkat.

 

Penarafan setiap universiti juga menitikberatkan aspek perkongsian ilmu samada ia dilakukan diperingkat nasional atau dunia. Justeru, penanda aras ini perlu dipatuhi agar universiti dan komuniti kekal akrab.

 

Pelbagai program pemindahan ilmu telah dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang sering diberi jolokan ‘universiti tersohor pantai timur’ terutamanya dalam tempoh pandemic yang penuh cabaran.

 

“Di UMT, setiap jabatan memainkan peranan dalam memberikan sumbangan kepada komuniti berdasarkan kepakaran utama jabatan tersebut”. Kata Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim ketika berucap sempena Majlis Pertukaran Surat Hasrat antara Akuatrop dan Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu, baru-baru ini.

 

“Ini diterjemahkan melalui kerjasama serta khidmat sosial yang dikenali sebagai University Social Resposibilty atau USR. USR merupakan salah satu cara pemindahan ilmu dijalankan oleh warga kampus kepada masyarakat sekitar khususnya komuniti setempat.

 

Tambah beliau, program pemindahan ilmu dilakukan dalam pelbagai bentuk perkongsian samada secara hands on atau platforms digital.

 

“Ia dilaksanakan antaranya melalui penganjuran bengkel dan kursus, khidmat nasihat dan perkongsian teknologi hasil penyelidikan yang dijalankan di UMT seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.

 

Katanya, pelaksanaan kerjasama antara Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) UMT kali ini memfokuskan penternakan udang galah dan ikan air tawar.

 

”kerjasama bersama Persekutuan Pengakap Malaysia Terengganu ini melibatkan bimbingan menjalankan aktiviti akuakultur melalui penternakan ikan air tawar dan udang galah di Bukit Sawa, Marang.

 

“Lokasi ini telah pun dijadikan kawasan pertanian melalui tanaman “rock melon” serta mempunyai kolam yang bakal dimanfaatkan dengan ternakan ikan air tawar dan udang galah dengan bantuan kepakaran AKUATROP kelak”.

 

UMT yang juga mempunyai bidang tujahan berkaitan ilmu kelautan dan sumber akuatik itu telah berjaya membantu golongan berpendapatan rendah terutamanya kumpulan B40 bagi usaha menjana pendapatan melalui projek pemindahan ilmu.

 

Antara projek yang telah terbukti memberi pulangan kepada kumpulan asnaf dan B40 adalah komuniti Kampung Raja, Ulu Dungun (penternakan udang galah dan ikan tilapia), komuniti Sungai Nyatoh, Setiu (program pelepasan dan pemuliharaan udang galah), komuniti Kampung Mangkuk, Penarik (penghasilan ketam kulit lembut), Maahad Tahfiz Mutiara, Kemaman (penternakan ikan siakap) yang kini dijadikan sumber pendapatan sampingan di maahad tersebut serta sekolah-sekolah di sekitar negeri Terengganu bagi projek penternakan ikan laga.

 

Selain itu, UMT juga bergiat aktif dalam usaha pemuliharaan spesis haiwan, flora dan fauna yang diancam kepupusan seperti penyu, ikan nemo, tenggiling, orkid dan sebagainya.

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Mlaaysia Terengganu