UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT dan NUUz berkolaborasi, fokus pelan pemulihan Covid-19

UMT dan NUUz berkolaborasi, fokus pelan pemulihan Covid-19

Wednesday, 12/01/2022

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengukuhkan lagi kerjasama dengan National University of Uzbekistan (NUUz) melalui perjanjian persefahaman (MoU) yang baharu dimeterai.

Perjanjian itu dimeterai setelah melihat potensi serta peluang kolaborasi yang menguntungkan susulan kunjungan rasmi penyelidik daripada NUUz ke UMT pada 2019.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd Ghaffar optimis MoU itu bakal memberi impak yang baik dalam pembentukan pelan pemulihan Covid-19.

“UMT melihat MoU ini sebagai platform bagi para penyelidik kedua-dua universiti menggembleng kepakaran untuk merangka pelan jangka panjang selari Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kemampanan pelan pemulihan COVID-19 untuk membina masa depan yang mampan.

“Saya yakin dan percaya bahawa jika peluang ini diguna sebaik mungkin, lebih banyak peluang projek kerjasama yang boleh dilaksanakan sekaligus mempercepatkan transformasi kedua-dua negara ke arah negara yang lebih mampan serta dijadikan negara contoh.

Tambah Dr. Mazlan, kolaborasi itu juga menzahirkan keutuhan hubungan jalinan kerjasama rentas sempadan dan juga komitmen kedua-dua universiti dalam pembangunan negara.

“Saya berharap hubungan antara UMT dan NUUz akan menghasilkan sinergi bagi dalam membawa kemajuan yang lebih baik dalam pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan untuk manfaat masyarakat dan negara”. Katanya.

Majlis kolaborasi strategik itu diadakan secara maya diwakili oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan sementara NUUz diwakili Naib Rektor Utama, Profesor Toshmatov Shukhrat Omonovich.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu