UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Jaga Diri, Patuhi SOP

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Jaga Diri, Patuhi SOP

Tuesday, 11/05/2021

Share This Article :

Kebiasaanya, setiap tahun setelah sebulan berpuasa, pasti kita berasa teruja mahu meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga serta sanak saudara. Tapi kini sudah berbeza, di mana aidilfitri ini merupakan kali kedua kita beraya dalam norma baharu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

 

 

Sebilangan besar warga pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing untuk meraikan Aidilfitri setelah kebenaran tersebut diumumkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini.

 

 

Pengumuman juga telah dibuat oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkenaan larangan rentas daerah di seluruh negeri bagi tempoh empat minggu termasuk sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang pada 13 Mei 2021.

 

 

Walaupun pelajar UMT dibenarkan beraya bersama ahli keluarga, namun kebenaran tersebut bukanlah bersifat suatu kebebasan untuk berkunjung ke pelusuk kampung.

 

 

Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMT, Prof. Madya Dr. Hafiz Zakariya turut mengingatkan pelajar bahawa perlu sentiasa berwaspada dan peka terhadap keselamatan diri.

 

“UMT telah menguruskan penyediaan pengangkutan bas kepada pelajar yang beraya bersama keluarga masing-masing. Penggunaan bas khas ini khusus untuk menghantar pelajar pulang kerana pelajar tidak dibenarkan untuk menggunakan pengangkutan awam selain kapal terbang. Demi mematuhi SOP keselamatan, semua bas yang disediakan telah disanitasi dan diperiksa agar proses penghantaran pelajar pulang berjalan dengan lancar.

 

“Kita mohon para pelajar supaya amalkan kawalan kendiri dan sentiasa patuh kepada SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkenaan kerana aidilfitri kali ini berbeza dengan aidilfitri yang kita sambut pada tahun sebelum wujud Covid-19.

 

“Jangan terlalu leka dengan perayaan sehingga menyebabkan kita lalai dan alpa dengan saranan Majlis Keselamatan Negara. Apa yang berlaku di India perlu kita jadikan pengajaran dek kerana ghairah meraikan perayaan sehingga suasana gembira bertukar kepada duka yang amat menyedihkan akibat terlalu ramai yang dijangkiti Covid-19.”

Namun begitu, tetaplah bersyukur dengan nikmat yang diberikan kerana kita masih dapat merayakan Aidilfitri ini biarpun dugaan dan cabaran itu menjadikan umat islam lebih menginsafi dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

 

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu