UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

391 Pelajar Baharu UMT Jalani Ikrar Secara Maya

391 Pelajar Baharu UMT Jalani Ikrar Secara Maya

Monday, 27/07/2020

Share This Article :

Kuala Nerus – Kekangan akibat penularan virus COVID-19 bukan penghalang bagi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan Majlis Ikrar Pelajar Baharu Sesi 2020 apabila mendapat kerjasama dan sokongan untuk menjayakannya secara maya melalui platform Cisco WEBEX dan Facebook Live.

Sejumlah 391 pelajar masing-masing terdiri daripada 145 pelajar Diploma Perikanan dan 146 pelajar Asasi STEM UMT menyempurnakan majlis tersebut disaksikan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dan Dekan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM), Prof. Dr. Mohd Effendy Abd. Wahid serta Pengarah Pusat Asasi STEM, Prof. Madya Dr. Laili Che Rose.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni, UMT komited dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelajar yang juga sebagai pemegangtaruh dan pelanggan utama universiti.

“Kita cuba buat yang terbaik bagi melahirkan modal insan cemerlang. Apa sahaja kemudahan yang menjadi keperluan kepada pelajar, kita cuba usahakan.

“Pelajar baharu diingatkan supaya segera menerima perubahan kaedah pengajaran dan pembelajaran akibat penularan COVID-19. Kaedah e-learning akan diperluaskan secara optimum bagi mengelakkan penangguhan sesi pembelajaran dan ia merupakan suatu perkara baharu kepada pelajar asasi STEM yang menamatkan persekolahan peringkat SPM.

Selain itu, tambah beliau UMT telah memperkenalkan 21 kursus dalam talian menerusi platform Massive Open Online Course (MOOC).

“Dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) UMT telah membangunkan 21 kursus atas talian iaitu Massive Open Online Course (MOOC) yang membuka peluang kepada proses pembelajaran tanpa sempadan pada bila-bila masa. Kursus MOOC yang dibangunkan oleh UMT ini telah memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan.

”UMT juga telah menaik taraf beberapa ruang pembelajaran dan pengajaran dengan mereka bentuk semula ruang ini serta lebih kondusif, selesa dan menarik dengan gabungan elemen digital yang menyokong pembelajaran aktif bersesuaian dengan norma baharu”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu