KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraikan sejumlah 268 warganya terdiri daripada pengurusan tertinggi dan kumpulan sokongan yang telah berusaha keras dalam usaha membawa UMT kearah kecemerlangan.

 

Penerima anugerah diraikan dalam Majlis Anugerah Tahunan (MAT’19) yang dianjurkan setiap tahun itu terbahagi kepada beberapa kategori seperti Anugerah Setia Bakti, Anugerah Pesara, Anugerah Pekerja Cemerlang, Anugerah Khas Pekerja Cemerlang, Anugerah Khas Naib Canselor dan Anugerah Julangan Bakat.

 

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dalam ucapannya berkata, anugerah penghargaan itu  bertujuan untuk membantu serta menggalakkan penerima untuk terus meningkatkan kecemerlangan diri dalam menghasilkan budaya kerja berimpak tinggi bagi meningkatkan kualiti universiti.

 

“Bagi meneruskan kelangsungan UMT, kita perlu meningkatkan kewibawaan UMT supaya tersohor dalam dalam bidang tujahan ilmu kelautan dan sumber akuatik dan ia harus dizahirkan melalui citra yang hebat diperingkat nasional dan global dengan meningkatkan bilangan kakitangan yang berkualiti dan terbaik.

 

“Selain itu, saya juga mengharapkan agar staf UMT meneruskan usaha menjana idea-idea baharu dan menghasilkan inovasi baharu bagi melonjakkan nama UMT. Inovasi baharu perlu dihasilkan bukan sahaja dalam bentuk produk tetapi juga dalam bentuk sistem pengurusan universiti supaya karenah birokrasi dapat dikurangkan dan sistem penyampaian perkhidmatan dapat ditingkatkan”.

 

Kemuncak majlis itu turut mengiktiraf Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) sebagai penerima anugerah secara keseluruhan apabila menerima Anugerah Kepimpinan Akademik di atas kecemerlangan, kewibawaan dan kesarjaan holistik dalam penjanaan ilmu dan membawa impak signifikan kepada pembangunan universiti dan negara. Antara sumbangan beliau adalah sebagai penasihat kepada ASEAN Fisheries Network, Pemikir Dasar Gagasan Coral Triangle Initiative, profesor pelawat universiti di Jepun dan lain-lain.

 

Majlis yang cukup bermakna itu turut dihadiri oleh Tan Sri (Dr.) Halim Mohammad, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT dan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah UMT, pengurusan tertinggi UMT serta pegawai-pegawai UMT.

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

Universiti Malaysia Terengganu

Tel: 019-5665395

Emel : amirulsalam@umt.edu.my