UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

STESEN PENYELIDIKAN ALAMI KENYIR (SPAK) NADI UTAMA PENYELIDIKAN SAINTIFIK TASIK KENYIR

STESEN PENYELIDIKAN ALAMI KENYIR (SPAK) NADI UTAMA PENYELIDIKAN SAINTIFIK TASIK KENYIR

Wednesday, 19/10/2022

Share This Article :

Ditulis oleh: Rozita binti Alias@Abdul Latiff

Negeri Terengganu Darul Iman merupakan destinasi percutian yang sering menjadi tumpuan pelancong dalam mahupun luar negara. Ini kerana banyak tempat-tempat menarik disajikan di negeri cantik budaya menarik ini.

Selain keindahan pantai, negeri ini mempunyai Tasik Kenyir yang juga menjadi daya penarik bagi pencinta alam semulajadi. Tasik Kenyir merupakan tasik buatan semulajadi terbesar di Asia Tenggara berkeluasan 260,000 hektar serta kaya dengan biodiversiti unik di Semenanjung Malaysia.

Terletak di daerah Hulu Terengganu, bersempadan dengan Negeri Kelantan di sebelah barat dan Negeri Pahang di sebelah selatan, tasik yang terbentang luas ini membuktikan ciptaan Allah dan memiliki seribu rahsia untuk diterokai.

Keistimewaan Tasik Kenyir bukan semata-mata kerana kejernihan airnya, kehijauan alam yang terbentang luas dan bukit bukau yang saujana mata memandang, tetapi kerana tasik ini menjadi pintu masuk ke Taman Negara yang tesohor di serata dunia.

Tasik Kenyir tersohor dengan kehijauan dan ketenangan hutan hujan tropika tertua dunia semenjak 130 juta tahun lampau yang turut menjadi habitat kepada ribuan spesies flora dan fauna.

Stesen Penyelidikan Alami Kenyir (SPAK), UMT

Bertepatan dengan fungsi universiti untuk masyarakat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berusaha untuk melengkapkan keupayaan penyelidikan bersifat multi-disiplin dan berorientasi inovasi sosial. Sehubungan itu, Pusat Pembangunan Sosio-Ekonomi atau lebih dikenali dengan nama Socio-Economic Development Center (CSD) telah diwujudkan pada tahun 2011.

 

Selaras dengan perkembangan penyelidikan di UMT, CSD telah dinaiktaraf kepada Institut Penyelidikan Kenyir pada akhir tahun 2013, diketuai oleh Pengasasnya, Profesor Emeritus Dr. Faizah Mohd Sharoum. Kecemerlangan ini diteruskan lagi di bawah pimpinan Profesor Dato’ Dr. Mohd Tajuddin bin Abdullah bermula 2016 sehinggalah diberi nafas baru melalui penjenamaan semula dengan nama Stesen Penyelidikan Alami Kenyir (SPAK) dan mula beroperasi pada 2021 dengan pembangunan infrastuktur lengkap dan terkini.

 

Kini pengurusan SPAK diletakkan di bawah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL), UMT diterajui oleh Profesor Madya Dr. Amirrudin bin Ahmad, selaku Pengarah IBTPL yang menggantikan Prof. Marzuki Ismail. Institut ini adalah nadi utama dalam melestari penerokaan multidisiplin yang bersepadu dalam penyelidikan saintifik bertumpu di Tasik Kenyir, khususnya dalam dua bidang teras IBTPL iaitu biodiversiti dan pengurusan sumber semulajadi, dan pembangunan sosial.

 

SPAK adalah aspirasi UMT bagi menterjemahkan iltizam kerajaan negeri untuk menjadikan Kenyir sebagai destinasi pelancongan alam semulajadi terunggul di rantau ini iaitu sebagai wilayah pembangunan luar bandar contoh daripada perspektif kelestarian alam dan kesejahteraan masyarakat.

Stesen ini berhasrat menjadi pusat rujukan utama biodiversiti Tasik Kenyir bertaraf antarabangsa dalam jangka masa panjang. 

Peranan SPAK

Keistimewaan Tasik Kenyir dari beberapa sudut yang berbeza seperti kepelbagaian biologi, kemewahan sumber akuatik, keunikan pelancongan dan sosio-ekonomi serta keaslian warisan budaya masyarakat setempat amat membantu peranan SPAK ke arah menjadikan pusat penyelidikan dan pemindahan ilmu yang terulung dalam negara.

SPAK bersedia untuk menerima pengunjung terutamanya universiti-universiti tempatan dan antarabangsa, sekolah dan institusi lain serta masyarakat awam yang inginkan cabaran dalam penyelidikan mereka.

Kemudahan Penyelidikan di SPAK

SPAK dibangunkan secara lestari mengikut rupa bentuk muka bumi sedia ada dengan rekabentuk bangunan yang mengadaptasikan elemen tropika dan senibina tradisional Terengganu.

 

SPAK menawarkan kemudahan terkemuka dunia untuk ekologi dan penyelidikan akuatik di Tasik Kenyir. Dilengkapi dengan beberapa blok binaan moden dan mempunyai pelbagai kemudahan yang mampu menyokong pembelajaran dan penyelidikan bidang yang berkualiti tinggi.

Terdapat dua blok bangunan akademik yang mempunyai kemudahan makmal penyelidikan yang menyediakan ruang untuk menjalankan kajian secara meluas, bilik kuliah, bilik penyelidikan pasca siswazah dan pasca doktoral, bilik pensyarah dan penyelidik.
 

Selain itu, SPAK dilengkapi dua blok asrama yang boleh memuatkan sehingga 64 orang pada satu-satu masa selain enam rumah tumpangan yang boleh memuatkan seramai 12 orang penyelidik. Auditorium berkapasiti 100 orang turut disediakan di SPAK termasuk kemudahan lain seperti surau, kafeteria dan tandas OKU.

SPAK juga dilengkapi dua galeri spesimen yang akan digunakan untuk memaparkan pelbagai spesimen biologi dan sejarah semula jadi dan sosiobudaya di sekitar Tasik Kenyir.  Kemudahan rumah bot, bot laju serta jeti SPAK juga disediakan bagi memudahkan penyelidik keluar menerokai tasik kenyir mencari spesimen. Kemudahan-kemudahan ini meberi ruang kepada para penyelidik untuk ‘beraksi’ dengan alam.

 

Aktiviti Penyelidikan

Fokus penyelidikan di SPAK menjurus kepada penyelidikan biodoversiti  dan faktor semulajadi akuatik di sepanjang sungai Terengganu.  Kajian biodiversiti herpetofauna di sekitar Kenyir melalui taburan dan limpahan spesies iaitu kajian kepelbagaian organisma, haiwan dan tumbuhan sekitar Tasik Kenyir.

 

Kajian penyelidik tertumpu kepada spesies burung, mamalia (contohnya ungka, mamalia kecil, dan sebagainya) ikan,  serangga, herpetofauna (termasuk spesies ular, katak, cicak). Kajian spesies ini bertujuan untuk mengenalpasti habitat serta jangka hayat spesies tersebut. Secara tidak langsung memberi impak terhadap kitaran alam.

 

Salah satu penyelidikan yang memberi impak adalah Project SoundsKape iaitu Kajian tentang bioakustik ungka menggunakan teknologi Passive Acoustic Monitoring (PAM). Kajian ini menggabungkan teknik menggunakan rekorder yang efektif dan efisien, tidak merosakkan (non invasive) dan separa autonomi (semi autonomous) terhadap spesies ungka tangan putih (Hylobates lar). Haiwan ini merupakan haiwan terancam (Endangered) oleh  International Union for Conservation of Nature (IUCN).

 

Apa yang menarik kajian berkenaan haiwan unik yang diterajui oleh Dr Aini Hasanah Abd Mutalib, Pegawai Penyelidik, IBTPL telah memenangi ‘Merdeka Award grant for international attachment ’ (MAGIA) pada tahun 2021. Anugerah ini mengiktiraf saintis di awal karier mereka dengan menyokong dan membiayai pemenang anugerah untuk menjalani latihan di tempat pilihan masing- masing. Kini Dr Aini mula menjalankan penyelidikan dalam bidang bioakustik dan mengharapkan penyelidikan tersebut dapat menyokong usaha pemuliharaan spesies dan habitat hutan di Tasik Kenyir terutamanya haiwan terancam.

 

Selain daripada itu menurut Profesor Madya Dr. Amirrudin bin Ahmad terdapat penemuan baru spesies ular bewarna coklat dan berukuran 30 sentimeter di kawasan Bukit Lawit, Tasik Kenyir. Ular yang tidak berbisa dari keluarga Genus Hebius tersebut ditangkap dan diawet untuk tujuan kajian. Tambahnya spesies ular ini kebiasaanya menjadikan habitat di kawasan pergunungan berlatitud tinggi dan ditemui di kawasan rendah bukan sesuatu yang biasa. Sekiranya benar ular itu merupakan spesies baru, ia merupakan perkembangan yang memberangsangkan dan membuktikan kekayaan biodiversiti di Tasik Kenyir.

 

Dijangkakan banyak lagi penemuan baharu yang terdapat di sekitar kawasan ini yang menunjukkan keunikan Bukit Lawit dan lembangan Tasik Kenyir. Kepelbagaian flora dan fauna di lembangan Tasik Kenyir masih di peringkat penerokaan. Masih banyak kajian yang perlu dilakukan dan dokumentasi. Kepelbagaian biologi ini dapat membantu menguruskan ekosistem dengan baik.

 

Kajian-kajian lain melibatkan komuniti setempat iaitu masyarakat Orang Asli Sungai Berua melalui Projek Jungle School yang dijalankan kepada komuniti orang asal Kg Sg Berua yang telah bermula pada Ogos 2021. Projek yang diketuai oleh Profesor Dr. Khatijah Omar ini bertujuan memupuk minat belajar anak orang asli suku Semaq Beri melibatkan 40 orang murid.

 

Selain itu, Program Pemindahan Ilmu Memperkasa dan Melestarikan Warisan Budaya Jenagor dalam Kalangan Generasi Muda hasil dari geran daripada UNESCO juga sedang dijalankan.

 

Perancangan Aktiviti Penyelidikan

Pihak UMT telah merancang beberapa aktiviti penyelidikan yang berkaitan dengan lembangan Tasik Kenyir seperti Soundscape Project, Biodiversity Trail, Project Lepto, Birds of Kenyir, Plant Biodiversity and Species Richness, Assessment of Kenyir Ecoregion Environmental Conditions with Related to Flora Diversity serta Terrestrial ResourcesAktiviti ini bukan sahaja memerlukan komitmen tinggi daripada penyelidik malah sokongan padu daripada universiti dan pihak kerajaan juga diharap mampu merialisasikan aktiviti penyelidikan bertaraf dunia.