UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Sukan pantai pupuk kepimpinan mahasiswa, galak masyarakat aktif

Sukan pantai pupuk kepimpinan mahasiswa, galak masyarakat aktif

Monday, 20/11/2023

Share This Article :

Musim tengkujuh disambut dengan penuh kemeriahan apabila ribuan mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan komuniti sekitar kampus menyerbu pantai UMT bagi mewarnai cabaran sukan pantai.

Kejohanan International Monsoon Beach Challenge 2023 itu mendapat sambutan luar biasa apabila turut disertai oleh pasukan seluruh negeri dan juga Thailand.

Penganjuran bagi memartabatkan pembentukan mahasiswa itu diadakan selama tiga hari bermula 16 November 2023.

Ketua Pusat Sukan dan Rekreasi UMT, Siti Noriam Yaakob berkata cabaran sukan monsun itu adalah seiring aspirasi kementerian pengajian tinggi untuk melahirkan graduan holistik yang berketerampilan serta seimbang bagi memimpin masa hadapan yang diperlukan negara.

“Pusat Sukan dan Rekreasi UMT mengambil peluang untuk menjadikan fenomena alam yang sentiasa melanda Pantai Timur Malaysia sebagai satu daya tarikan melalui penganjuran acara sukan pantai khasnya.

“Usaha ini juga bagi menyokong hasrat kerajaan dalam melahirkan graduan berkualiti serta seimbang dengan pencapaian akademik dan bergiat aktif dalam aktiviti sukan yang mana ia sebagai langkah mempersiapkan generasi pelapis bagi memimpin negara pada masa hadapan”

Menurutnya, pihaknya mensasarkan penyertaan seluruh Malaysia dan jemputan juga dibuat kepada beberapa universiti dari Thailand dan Indonesia.

Katanya, penganjuran itu sebagai platform untuk mahasiswa meningkatkan keupayaan insaniah atau ‘soft skill’ dengan pengurusan, kemahiran komunikasi, kepimpinan bagi menerajui acara-acara yang dipertandingkan.

“Kita mahukan pelajar-pelajar terdedah dengan kepimpinan dan soft skill yang tinggi dan untuk itu kita lantik pelajar-pelajar sebagai peneraju untuk acara-acara yang dipertandingkan. Pendedahan pengurusan penganjuran program sangat berguna sebagai nilai tambah kepada mahasiswa selain ilmu akademik dalam menceburi alam kerjaya kelak.

International Monsoon Beach Challenge 2023 mengangkat lima acara sukan utama untuk dipertandingkan dengan tawaran hadiah berjumlah RM55,000. Antara acara yang dipertandingkan seperti bola jaring, bola tampar, bola sepak, memancing, sukaneka dan mewarna.

Tambah Noriam, penganjuran itu turut memupuk semangat berpasukan antara pelajar dalam melakukan kerja berkumpulan selain menyumbang kepada kesihatan fizikal dan emosi.

“Permainan berpasukan dalam sukan membantu mahasiswa memahami pentingnya kerjasama dan kepercayaan dalam kerja berpasukan demi mencapai matlamat bersama. Sifat-sifat ini amat berguna dalam kehidupan universiti dan seterusnya dalam pekerjaan dan masyarakat.

“Aktiviti fizikal seperti bersukan dapat meningkatkan kesihatan mental dan fizikal mahasiswa selain membantu mengurangkan stres, dan meningkatkan kecerdasan emosi”. Katanya.

Penganjuran sukan pantai kali ke-5 itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Sukan Terengganu dan tajaan syarikat korporat iaitu MAXIS dan XOFI.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu