UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, UMT Ajak Penyelam Skuba Bersih Dasar Laut

Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, UMT Ajak Penyelam Skuba Bersih Dasar Laut

Tuesday, 27/08/2019

Share This Article :

Pulau Bidong sekali lagi menjadi lokasi tumpuan para penyelam skuba apabila pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan kesinambungan acara tahunan yang menjadi trademark iaitu Bidong Merdeka Dive 2019.

 

Penganjuran kali ini mendapat kerjasama erat daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) ini merupakan penganjuran ke-11 Program Bidong Merdeka Dive. Program Bidong Merdeka Dive mula dianjurkan pada tahun 2008 dengan mengetengahkan pelbagai tema-tema yang menarik dan bersifat mesra alam sekitar.

 

Bagi menyokong usaha kerajaan mengangkat tema Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, program kali ini melibatkan beberapa aktiviti seperti membersihkan kawasan pantai dan dasar laut.

Menurut Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari, Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (CRAFS) yang juga bertindak sebagai tuan rumah berkata, pihaknya cuba menyuntik perasaan sayangi lautan melalui penyebaran ilmu berkaitan impak pencemaran plastic terhadap alam marin.

 

“Antara aktiviti yang diadakan seperti mengumpulkan serpihan sisa plastic dan debris marin yang terdapat pada dasar laut, taklimat berkaitan ancaman hidupan marin kesan daripada aktiviti manusia dan lain-lain.

 

“Debris marin iaitu bahan pepejal yang dihasilkan atau diproses secara langsung atau tidak langsung yang mana secara sengaja atau tidak sengaja dilupuskan atau ditinggalkan di dalam persekitaran laut. Contoh debris marin adalah seperti tin minuman dan beg plastik, peralatan penangkapan ikan dan sisa kapal.

 

Tambah beliau, aktiviti pembersihan itu secara tidak langsung membolehkan peserta-peserta dapat mengenali keunikan produk ekopelancongan Pulau Bidong yang kaya dengan khazanah biodiversiti marin.

 

“Pulau Bidong juga telah menyimpan rekod sebagai pulau pertama di Malaysia yang mempunyai galeri bawah air yang terdiri daripada pelbagai tukun rekreasi sebagai satu daya tarikan bagi peminat-peminat aktiviti selam skuba. Selain daripada mempromosikan pemuliharaan alam sekitar, program ini dapat menyemarakkan produk pelancongan yang terdapat di negeri Terengganu”.

“Harapan saya melalui program Bidong Merdeka Dive 2019 dapat mengetengahkan konsep volunteerism di antara peserta-peserta dalam menjaga keindahan persekitaran marin khususnya di Pulau Bidong dan ini adalah bersesuaian dengan peranan UMT sebagai universiti yang berkonsepkan “Conservation University”. Konsep ini juga selari dengan moto UMT iaitu “Terokaan Lautan demi kelestarian sejagat”.

 

Bidong Merdeka Dive 2019 berjaya menarik minat hampir 150 penyelam skuba terdiri daripada kumpulan-kumpulan penyelam seperti kakitangan MOTAC, kakitangan UMT, Yayasan Coral Malaysia (YCM), Persatuan Selam Skuba Darul Iman, Kak Limah Diving Team dan wakil-wakil media.

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

09-6684418