UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT perkenal aktiviti Candat Sotong kepada pelajar UA

UMT perkenal aktiviti Candat Sotong kepada pelajar UA

Sunday, 17/07/2022

Share This Article :

Berlabuh sahaja tirai monsun tengkujuh di pantai timur, muncul pula aktiviti perikanan rekreasi yang begitu popular menjelang bulan April.

 

Mencandat sotong yang sering dijadikan aktiviti riadah hujung minggu bagi kebanyakan orang telah Berjaya diangkat sebagai tarikan di negeri Terengganu bagi merancakkan lagi sector pelancongan.

 

Antara lokasi kebiasaan bagi kumpulan penggemar aktiviti candat iaitu perairan Pulau Kapas, Marang, perairan pantai Setiu dan beberapa lubuk mencandat di perairan Dungun dan Kemaman.

 

Keseronokan lebih terasa apabila mata candat Bersama-sama umpan tiruan yang berwarna warni Berjaya menaikkan sotong bersaiz besar.

 

Ditambah pula dengan kilauan cahaya daripada lampu yang dipancarkan ke dasar laut mampu menarik lebih banyak kumpulan sotong ke Kawasan tersebut. Sekaligus ia memberikan bonus kepada kaki candat tegar.

 

Situasi itu mengubati serta memberi suntikan semangat yang lebih kuat kepada ‘orang baharu’ yang mula berjinak-jinak dalam aktiviti itu walaupun perlu bermalam di tengah laut mahupun mengharung ‘mabuk’ laut akibat di hayun ombak.

 

Terkini, setelah hampir dua tahun negara dilanda pandemik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut membuka peluang kepada golongan pelajar untuk merasai pengalaman mencandat sotong sebenar.

 

Penganjuran mencandat sotong sulung itu Berjaya menarik seramai 24 orang pelajar bagi mewakili IPTA masing-masing.

Uniknya, peserta bukan sahaja merasai pengalaman mencandat, malah mereka diberi pendedahan berkaitan teknik-teknik mencandat serta cara ikatan peralatan mencandat. Ia bagaikan kursus mencandat yang berlangsung dua hari satu malam di UMT dan perairan Pulau Bidong.

 

“Kita anjurkan program ini untuk memperkenalkan keunikan Pantai Laut China Selatan khususnya perairan Terengganu kepada pelajar universiti yang antara mereka ini juga bertindak sebagai duta untuk mempromosikan aktiviti ini kepada rakan-rakan di luar sana untuk datang ke Terengganu”. Kata Profesor Madya Dr Hafiz Zakariya, Timbalan Naib Canselor (HEPA) Universiti Malaysia Terengganu ketika menyempurnakan gimik pelancaran program.

 

Tambah beliau, program yang dianjurkan itu mampu memberi impak positif kepada sector ekonomi negeri melalui pelancongan domestik serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada pengusaha bot sekitar.

 

Kebiasaan pencandat sotong akan mula menaiki bot seawal jam 3 petang dan pulang sekitar subuh keesokan harinya.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu