Perkembangan dunia komunikasi menyaksikan perubahan dan penghasilan inovasi terkini sehingga membolehkan interaksi dan komunikasi lebih pantas serta melangkaui masa dan jarak.

Rangkaian telekomunikasi masa kini meliputi telefon yang berintegrasi dengan rangkaian internet 5G dan Wi-Fi yang bukan hanya mampu untuk komunikasi manusia, malah juga digunakan untuk aplikasi lain yang boleh dikatakan melangkaui pemikiran suatu ketika dahulu.

Melalui Geran Industri IoT bernilai RM 119,000.00 sumbangan Malaysian Technical Standards Forum Bhd atau MTSFB yang merupakan syarikat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan aplikasi rangkaian komunikasi baharu yang dinamakan Long Range communication network (LoRa).

“LoRa merupakan teknik modulasi spektrum tersebar yang diperoleh daripada teknologi spektrum penyebaran mencicip (Chirp Spread Spectrum). Peranti Lora yang digunakan sebagai penghantar dan penerima untuk projek ini adalah merupakan teknologi rangkaian tanpa wayar jarak jauh dan berkuasa rendah dan disambungkan terus dengan teknologi IoT atau pengkomputeran awan (Cloud Computing). Ujar Ketua Projek, Datin Dr. Nurul Adilah Abdul Latiff yang juga merupakan pensyarah kanan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan.

“Untuk projek ini, sensor yang digunakan adalah sensor persekitaran (environmental sensors) bagi tujuan pemantauan (monitoring). Data yang diperoleh daripada sensor ini akan dihantar menggunakan teknologi LoRa di Transmitter yang terletak di Pulau Bidong, pada frekuensi 921.9MHz dengan kuasa radio isotropic efektif (Effective Isotropic Radio Power, EIRP), 110Watt. Data ini akan melalui garis penglihatan (Line of Sight) dan zon Fresnel (Fresnel Zone) sejauh 23km terus ke penerima (receiver) yang terletak di bangunan Kompleks Kuliah Pusat, UMT. Di sini, data ini terus disimpan ke pengkalan data dan seterusnya pengguna dapat melihat data tersebut secara pemantau masa nyata (real time monitoring)”.

Tambah beliau, projek ini dapat dikembangkan lagi dengan menggunakan teknologi LoRa ini dimana dengan aplikasi pintar IoT ini dapat menyelesaikan cabaran terbesar yang dihadapi pada masa kini iaitu dari segi pengurusan tenaga, pengurangan sumber semula jadi, kawalan pencemaran, pencegahan bencana, dan banyak lagi.

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu