UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT sahut cabaran tangani isu lautan global

UMT sahut cabaran tangani isu lautan global

Monday, 07/11/2022

Share This Article :

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai hasil bumi. Bumi bertuah itu juga unik apabila hampir keseluruhan dikelilingi lautan iaitu Laut China Selatan dan juga Selat Melaka. Kedudukan yang strategik itu menjadikan negara ini sebagai negara maritim.

Peredaran masa dan kemajuan teknologi dikatakan memberi kesan terhadap tahap kesihatan bumi. Pelbagai hasil bumi yang di “tuai” dek kerana desakan kemajuan dan pembangunan menjadi penyumbang terbesar kepada pencemaran.

Kesan daripada ancaman pencemaran itu secara tidak langsung menyumbang kepada kemerosotan ekosistem marin.

Sebagai universiti yang berfokus bidang sains marin dan sumber akuatik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) giat menganjurkan pelbagai program kesedaran marin di pelbagai peringkat.

Organisasi kecil bagaimanapun tidak mampu untuk menyedarkan orang ramai berkaitan isu marin, kata Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar.

“Marilah bekerjasama dalam usaha memelihara ekosistem marin kita untuk generasi akan datang melalui sinergi yang baik antara para akademia, industri, kerajaan dan masyarakat serta kolaborasi antarabangsa.

Katanya, hubungkait antara ekosistem alam semulajadi serta tindak balasnya adalah asas utama dalam merencanakan pembangunan.

“Memahami tindak balas lautan terhadap tekanan dan tindakan pengurusan adalah asas untuk pembangunan mampan. Kajian dan penyelidikan berkaitan lautan juga penting untuk meramalkan impak perubahan, mitigasi reka bentuk dan padanan yang terbaik.

Ujar beliau ketika berucap sempena majlis perasmian 3rd Tropical Ocean and Marine Sciences International Symposium (TOMSY2022) bertempat di kampus UMT, Kuala Nerus.

Menurut pakar, kira-kira 90 peratus daripada haba yang dihasilkan bumi diserap oleh lautan.

Peningkatan suhu laut ketara akibat daripada aktiviti manusia yang menyebabkan lautan terlalu panas, berasid, pencemaran yang berlaku didaratan membawa kepada pencemaran laut yang seterusnya menyebabkan kehilangan besar biodiversiti marin negara.

Menurut Prof. Mazlan, penganjuran simposium antarabangsa berpotensi memberi impak kepada perubahan alam marin.

“Tema simposium ini ialah ‘Penyelidikan Lautan untuk Masa Depan Mampan’’. Saya percaya, tema simposium ini sememangnya memberi inspirasi kepada kami untuk mencapai agenda dalam SDGs atau dikenali sebagai Agenda 2030, terutamanya pada SDG 14 yang menyokong matlamat “Memulihara dan menggunakan sumber marin secara mampan untuk pembangunan lestari”.

Sementara itu, UMT turut mewujudkan inisiatif baharu bagi menyediakan pengurusan lautan lebih baik.

“UMT melalui INOS juga memberi tumpuan kepada tadbir urus lautan untuk mencari penyelesaian yang lebih baik untuk pengurusan lautan. Di sini, Pusat Tadbir Urus Lautan (COG) diwujudkan untuk memikul tanggungjawab bagi kajian berkaitan hubungkait sains dalam merangka dasar dan polisi.

Penganjuran simposium oleh Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT membuktikan bahawa pusat itu menyahut cabaran dalam menyerlahkan lagi kebitaraan sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) ke-7 negara bagi mencari penyelesian terbaik berkaitan isu lautan dengan menggabungkan data saintifik serta teknologi baharu melalui pendekatan inovatif.

 

Dikeluarkan oleh :

                                                                                                                             

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu