UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PENGALAMAN DAN KEPAKARAN DATO’ MAZLAN SEBAGAI NAIB CANSELOR MASIH DIPERLUKAN DI UMT

PENGALAMAN DAN KEPAKARAN DATO’ MAZLAN SEBAGAI NAIB CANSELOR MASIH DIPERLUKAN DI UMT

Monday, 18/04/2022

Share This Article :

KUALA NERUS, 18 April 2022: Profesor Dato` Dr. Mazlan bin Abd Ghaffar dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi tempoh setahun berkuatkuasa 18 April 2022 hingga 17 April 2023. Profesor Dato` Dr. Mazlan sebelum ini adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) seterusnya dilantik sebagai Naib Canselor UMT oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pada 2 Ogos 2021.

 

Mempunyai latar belakang pendidikan berkaitan bidang sains perikanan seiring dengan nic penyelidikan UMT yang bertunjangkan ilmu kelautan dan sumber akuatik.

 

Selain itu, Profesor Dato` Dr. Mazlan berpengalaman luas dalam bidang penyelidikan dan inovasi yang mana portfolio yang disandang beliau ketika menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di universiti sama.

 

Antara pencapaian terbaik beliau ialah mendapat pengiktirafan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP), UMT sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) bagi Teras Penyelidikan dan Inovasi dan mengetuai projek khas Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) hasil kerjasama dengan beberapa buah universiti awam iaitu Ocean Climate Change: Potential Risk, Impact and Adaptation Towards Marine and Coastal Ecosystem Services in Malaysia serta mewujudkan kaedah penjanaan dana universiti melalui pengkomersilan harta intelek.

 

Sumbangan diperingkat antarabangsa juga antara lain ialah menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Ichthyological Society of Japan, Marine Biology Association of United Kingdom, Asean Fisheries Society dan Taiwan Oceanography Society. Sementara itu, Profesor Dato` Dr. Mazlan berkata akan meneruskan agenda memperkasakan bidang tujahan utama UMT iaitu sains marin serta berusaha meletakkan UMT sebagai sebuah universiti berfokus yang cemerlang.

 

“Terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk terus menerajui UMT”.

 

Untuk rekod, Profesor Dato` Dr. Mazlan merupakan Naib Canselor UMT ke-6, manakala Naib Canselor pertama bermula tahun 2001 di bawah nama Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM).

 

 

 

Dikeluarkan oleh:

 

 

 

Pejabat Komunikasi

 

Korporat Universiti Malaysia Terengganu