UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PKS perlu perkasakan platform digital untuk kekal bersaing

PKS perlu perkasakan platform digital untuk kekal bersaing

Thursday, 06/05/2021

Share This Article :

Ramadan kedua para peniaga khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terkesan daripada penularan wabak COVID-19. Pengumuman PKP terhadap enam buah daerah di Selangor pastinya memberi kesan kepada warganya. Impak Pandemik COVID-19 kepada PKS terus dirasai. Namun, terdapat juga peniaga mampu mengekalkan jualan yang konsisten malah memperoleh pendapatan yang lebih tinggi berbanding sebelum pandemik berlaku. Apakah strategi yang mereka jalankan?

Kajian United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD) dan rakan kerjasama bertajuk “COVID-19 dan E-commerce” telah meneliti bagaimana pandemik telah mengubah cara pengguna menggunakan e-Commerce atau e-Dagang dan penyelesaian digital di Brazil, China, Jerman, Itali, Republik Korea, Persekutuan Rusia, Afrika Selatan, Switzerland dan Turki.

Dapatan menunjukkan perbezaan dalam peningkatan pembelian atas talian di setiap Negara. Peningkatan tertinggi adalah Negara China dan Turki, manakala paling rendah adalah Switzerland dan Jerman. Hal ini kerana, masyarakat di Switzerland dan Jerman telah terlibat dalam pembelian atas talian sebelum pandemik. Suasana ini memperlihatkan bahawa kemajuan perniagaan dalam talian di negara membangun khususnya meningkat ketika dilanda pandemik.

Di Malaysia, pembelian dalam talian meningkat sebanyak 28.9% pada April 2020 iaitu semasa pemulaan negara dilanda COVID-19. Kebanyakan masyarakat pada awalnya tidak begitu yakin dan tidak mahu dengan urusniaga secara maya telah mula beralih ke platform digital. Pada tahun 2019, berdasarkan laporan SME Corporation Malaysia di akhbar hanya 32% PKS iaitu 290,260 yang terlibat dalam pemasaran digital.

Kerajaan turut menjalankan pelbagai inisiatif dalam memperkasakan kemampuan PKS dalam pemasaran digital. Menurut MDEC sehingga hujung tahun lalu, lebih daripada 489,000 PKS dan mikro telah menerapkan e-Dagang dalam perniagaan manakala 378,000 PKS telah dilatih dan diperkenalkan berkaitan e-Dagang. Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara agar terus seiring dengan perkembangan digital dunia.

Justeru, peniaga – peniaga PKS perlu mentransformasi perniagaan mereka kearah pemasaran digital demi kelangsungan perniagaan. Mengambil peluang dan menggunakan sebaik mungkin inisiatif serta platform yang telah disediakan oleh kerajaan dan badan-badan bertanggungjawab memperkasakan pemasaran digital. Tambahan, kini ramai yang mula terlibat dengan perniagaan maya atau dalam talian semasa pandemik ini berlaku. Sektor ini turut menjadi bidang baru kepada mereka yang telah diberhentikan kerja mahupun bagi mereka yang belum memperoleh pekerjaan untuk diceburi.

 

Disediakan oleh :  

Nurhazliyana Binti Hanafi

Pensyarah

Jabatan Ilmu Dasar dan Keusahawanan

Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan

Universiti Malaysia Terengganu

Emel : nurhazliyana@umt.edu.my

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu