KUALA NERUS – Kira-kira 200 kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dari kalangan pensyarah dan staf sokongan bermandi peluh selepas berjaya menawan puncak Bukit Maras pada ketinggian hampir 350 meter dari aras laut.

Program pendakian yang dianjurkan Pusat Kesiahatan (PKU) UMT itu sebagai pengisian bagi Kempen Jom Sihat 2019 yang dilancarkan setiap tahun.

Menurut wakil penganjur, Rosfazila Bakar ketika ditemui menjelaskan program itu merupakan percubaan kali pertama untuk menerapkan kepentingan penjagaan kesihatan tubuh badan melalui pendakian bukit.

“Memandangkan hiking merupakan salah satu bentuk rekreasi yang semakin popular kebelakangan ini, pihak PKU rasa terpanggil untuk mengajak warga UMT turut menjayakan program rekreasi ini sambil menerapkan amalan gaya hidup sihat.

“Alhamdulillah, program ini mendapat perhatian dan sambutan begitu baik dari pelbagai peringkat warga UMT dan ini menunjukkan semakin ramai yang berjinak-jinak dengan aktiviti sihat seumpama ini.

“Kita juga turut melakukan aktiviti mengutip sampah sepanjang pendakian di samping menghayati keindahan flora dan fauna pada waktu pagi.

“Segelintir peserta yang terpaksa dibantu untuk sampai ke puncak bukit disebabkan sesak nafas dan hampir pitam. Tetapi dengan bantuan pasukan paramedic dari PKU yang sentiasa bersedia di sepanjang laluan trek berjaya menunaikan hasrat peserta untuk tiba di puncak.

Tambah Rosfazila, pelbagai siri kempen Jom Sihat yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2019 dan pihaknya akan mempertimbangkan untuk mengadakan program hiking seperti itu bagi lokasi-lokasi berlainan sekiranya mendapat reaksi positif dari kalangan warga UMT.

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu