UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Universiti perlu semarakkan budaya inovasi untuk bersaing di arena global

Universiti perlu semarakkan budaya inovasi untuk bersaing di arena global

Monday, 07/12/2020

Share This Article :

Universiti sebagai institusi pendidikan tinggi perlu meneroka ilmu baharu disamping menyuburkan wacana ilmu sedia ada. Khazanah ilmu baharu pula dapat diterokai apabila aktiviti inovasi dipergiatkan. Hasrat membangunkan masyarakat yang kreatif dan inovatif akan lebih bermakna sekiranya universiti menjadikan agenda inovasi sebagai suatu budaya yang berkembang mekar di kalangan para ilmuwan dan cendikiawan. Ini juga selari dengan lonjakan ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang meletakkan sasaran mewujudkan ekosistem inovasi di institusi pendidikan tinggi melalui jaringan penyelidikan swasta dan awam.

 

Kewujudan universiti sebagai sebuah institusi ilmu hanya akan dirasai oleh warga masyarakat sekiranya universiti mampu mengemukakan penyelesaian terhadap masalah yang sedang masyarakat tempuhi. Misalnya, usaha inovasi amat diperlukan untuk mencari formula penyelesaian pandemik Covid-19 yang belum nampak penghujungnya. Tambahan pula bagi tujuan penyelidikan, saban tahun universiti menerima peruntukan penyelidikan dari pihak Kerajaan, swasta atau industri. Dalam Belanjawan 2021, Kerajaan memperuntukkan RM400 juta khusus bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), bagi menyokong perkembangan sains dan teknologi agensi penyelidikan dan institusi pendidikan tinggi.

 

Sesuatu penyelidikan akan menjadi lebih bermakna jika ianya bukan sahaja dipindahkan dalam bentuk penerbitan berimpak tinggi, malah diterjemahkan kepada pelbagai bentuk inovasi yang akhirnya dapat memberi manfaat kepada rakyat.  Hal ini ini bertepatan sekali dengan takrifan inovasi oleh Asian Conference on Education & International Development (ACEID) yang menyatakan inovasi sebagai “an effort to introduce a practise in order to bring about a social change. The practice need not be totally new, its efficiency and potentially in a new context are the main criteria used in labelling of its innovation. The emphasis is on change in terms of providing a strategy to deal with a specific local or national problem”. Dalam erti kata lain, inovasi yang dilakukan mesti berupaya untuk membawa implikasi perubahan bagi menangani masalah masyarakat. ACEID adalah satu forum ahli akademik dan sarjana antarabangsa bertemu dan berbincang mengenai perkembangan dunia akademik semasa.

 

Apa yang perlu difahami, inovasi adalah proses berterusan yang wajar digerakkan melalui pelbagai kaedah atau pendekatan. Pandemik Covid-19 yang sedang kita lalui sebenarnya juga membuka ruang penerokaan yang luas. Dalam konteks ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sebuah universiti awam melalui Pusat Pembangunan Bakat dan Inovasi, Pejabat Pendaftar dengan kerjasama padu dari Pusat Data dan Pembangunan Digital serta Pejabat Komunikasi Korporat telah menganjurkan Karnival Inovasi @2020 secara atas talian pada 29 November 2020 hingga 3 Disember yang lalu. Pertandingan ini bukan sahaja menarik penyertaan di kalangan warga UMT, malah turut menerima penyertaan yang keseluruhannya berjumlah 174 projek termasuk dari beberapa Universiti Awam, Kolej Komuniti bahkan turut melibat beberapa buah sekolah di sekitar negeri Terengganu.

 

Bertemakan “Cakna Inovasi Pemangkin Generasi Lestari” pertandingan ini meliputi Anugerah Inovasi Pengurusan (AIPN) dan Anugerah Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (AIPP). Dalam ucapan perasmian Karnival Inovasi ini, Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar menegaskan pembudayaan inovasi bermula dari kefahaman penghayatan ilmu yang berkaitan dengan inovasi. Ini bermakna setiap warga kerja mesti sentiasa berlumba-lumba untuk mendapatkan ilmu pengetahuan sebagai teras dalam menjayakan inovasi dan kreativiti. Projek yang diketengahkan oleh para peserta pertandingan merentasi inovasi sistem masuk ke kampus semasa Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa, penambahbaikan sistem penyampaian pengajaran dan pembelajaran sehingga ke proses pemilihan kepimpinan pengajian tinggi negara melalui projek oleh kumpulan dari Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT). Sebagai pengurus bakat kepimpinan pengajian tinggi negara, AKEPT telah mengemukakan projek Unilead iaitu pembangunan suatu sistem yang membantu pihak AKEPT mengurus dan menyimpan data serta rekod pemimpin masa hadapan institusi pengajian tinggi di negara kita. Projek inovasi AKEPT ini telah mendapat pingat emas dan anugerah khas dari para juri.

 

Universiti dan inovasi tidak mungkin dipisahkan. Sungguhpun ungkapan ini seperti klise, hakikatnya usaha inovasi tidak hanya sekadar untuk menjadikan universiti sebagai organisasi pendidikan tinggi yang progresif, namun ia terkait rapat dengan kelangsungan universiti dalam lingkungan global. Penglibatan pelbagai agensi pendidikan melalui initiatif yang digerakkan oleh UMT adalah manifestasi bahawa universiti dan institusi pendidikan di negara kita teguh menghayati peranan dan tanggungjawab mereka dalam membantu negara menuju negara inovatif. Pada masa sekarang, berdasarkan Laporan Indeks Inovasi Global pada tahun 2020, Malaysia telah berjaya memperbaiki kedudukan ke-33 daripada 131 buah negara berbanding kedudukan ke-35 pada tahun yang lalu.

 

Universiti perlu mengorak langkah dengan lebih deras untuk memacu gagasan perubahan. Lambakan ‘universiti maya’ seperti Coursera, Skillshare, Udemy, Future Learn atau Moodle dalam era digital dan perkembangan teknologi maklumat pada masa kini tidak mustahil boleh ‘merampas’ peranan dan fungsi universiti sebagai sumber rujukan ilmu dan penyedia kepakaran tinggi. Untuk kekal relevan di arena global, universiti perlu terus berubah dan berinovasi!

 

 

Disediakan oleh:

Zukiferee  Ibrahim

Pendaftar

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu