UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

COVID-19 : AURA KEMERDEKAAN PERLU DITERUSKAN

COVID-19 : AURA KEMERDEKAAN PERLU DITERUSKAN

Sunday, 09/08/2020

Share This Article :

Pandemik COVID-19 telah menjangkau fasa kedua di Negara Malaysia tercinta. Namun usaha memerangi wabak tersebut tetap berterusan dan sering kali diingatkan oleh pihak kerajaan yang prihatin akan kesihatan rakyatnya.

Namun begitu, sebagai warganegara tidak seharusnya mengabaikan tarikh keramat yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia pertama tanggal 31 Ogos 1957 yang mana telah menjadi titik perubahan kepada pembangunan Negara.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap warganegara dalam menjaga keharmonian dan kemakmuran Negara yang berbilang kaum, bangsa serta etnik yang telah muafakat berlandaskan prinsip hormat menghormati antara suatu kaum dengan yang lain dan ini telah terbukti dengan keharmonian yang dikecapi hari ini.

Bertemakan “Malaysia Prihatin” seiring dengan keprihatinan kerajaan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dalam meringankan beban setiap golongan yang rata-rata terkesan dengan pandemik COVID-19 seperti bantuan kewangan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan lain-lain.

Di pihak Kemeterian Pengajian Tinggi (KPT) pula, beberapa inisiatif proaktif telah dilaksanakan seperti bantuan One-Off RM 200 bagi setiap pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di bawah seliaan KPT, Program Penghantaran Pelajar ke Kampung Halaman, Penyediaan Makanan Percuma, Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman PTPTN dan lain-lain. Keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan pelajar IPT jelas terbukti dibawah kepimpinan YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi.

Kempen kibarkan Jalur Gemilang juga dilaksanakan di peringkat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membabitkan kira-kira 500 kenderaan jabatan dan kakitangan bagi membangkitkan aura kemerdekaan sebagai tanda penghargaan buat generasi terdahulu yang bersusah payah menuntut kemerdekaan. Malah, kapal penyelidikan UMT “RV Discovery” juga turut terlibat dalam kempen kibarkan Jalur Gemilang tersebut.

Bagi menyemarakkan lagi kempen kibar Jalur Gemilang, pihak UMT juga merancang untuk mengadakan misi jelajah kibar Jalur Gemilang di Pulau Redang dengan kerjasama agensi dan NGO. Program ini juga melibatkan sekumpulan sukarelawan Sea Turtle Reseach Unit (SEATRU) yang prihatin dengan usaha untuk melindungi haiwan yang kian diancam kepupusan.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam, kualiti mahasiswa yang bakal dilahirkan menjadi objektif utama dan kecemerlangan bukan hanya ditumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata, malah jiwa serta minda merdeka disamping semangat patriotik dan cintakan kepada Negara perlu dipupuk agar “produk” yang dikeluarkan mempunyai jati diri dan integriti yang tinggi bagi memimpin Negara di masa akan datang.

Bagi mencapai objektif itu, UMT telah merangka beberapa inisiatif berbentuk program serta pertandingan dalam pelbagai bentuk. Antaranya pertandingan fotografi, penghasilan video pendek, kayuhan merdeka dan lain-lain.

Selain itu, melalui Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan UMT juga telah diterapkan beberapa subjek iaitu Falsafah dan Isu Semasa (MPU3142), Penghayatan Etika dan Peradaban (MPU3132) serta penganjuran program kenegaraan yang turut menjadi asas kepada perpaduan kaum dalam kalangan pelajar.

Warga UMT seringkali diingatkan agar tidak alpa dengan kebebasan yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam apa jua tugasan kerja baik kumpulan akademik mahupun kakitangan bukan akademik. Sikap keprihatinan dan perpaduan yang ditunjukkan warga ketika berdepan pandemik COVID-19 perlu diteruskan supaya nilai itu terus subur dalam diri masyarakat, seterusnya dapat memperkukuhkan keharmonian antara satu sama lain bak kata pepatah “Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua”.

Selamat menyambut bulan kemerdekaan dan selamat hari merdeka ke-63!