UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PELAJAR UMT DIHANTAR PULANG KE SARAWAK

PELAJAR UMT DIHANTAR PULANG KE SARAWAK

Wednesday, 13/05/2020

Share This Article :

KUALA NERUS, 10 Mei — Seramai 160 pelajar dari 10 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) di Zon Pantai Timur yang berasal dari Sarawak telah dihantar pulang melalui penerbangan khas pagi tadi.
 
Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata pihaknya diberi tanggungjawab sebagai penyelaras untuk penghantaran pulang pelajar-pelajar tersebut ke Sarawak serta seterusnya menerima ketibaan pelajar Pantai Timur dari Sarawak petang nanti.
 
“Alhamdulillah kesemua pelajar yang dihantar pulang ke Sarawak telah lulus beberapa siri saringan kesihatan oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU), UMT. 
 
“Proses yang dijalankan oleh UMT adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia. 
 
“Nasihat saya kepada semua pelajar agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang perjalanan pulang ke Sarawak dan sentiasa menjaga kebersihan diri agar kita dapat memutuskan rantaian COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, hari ini.
 
Daripada 160 pelajar tersebut, 55 adalah pelajar UMT, 43 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan 24 pelajar Universiti Malaysia Pahang.
 
Selain itu terdapat 13 pelajar Pusat Latihan Keselamatan Terengganu (TSTC), 10 pelajar Universiti Teknologi Mara Terengganu, lima pelajar Kolej Ranaco, empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, tiga pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, dua pelajar UCSI dan seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia.
 
Nor Aieni berkata penerbangan ke Sarawak yang berlepas pada 11.05 pagi itu dijangka tiba di Sarawak pada 1 tengah hari manakala penerbangan dari Sarawak yang akan membawa 160 pelajar Pantai Timur pula dijangka tiba di LTSM pada 4.30 petang ini.
 
“Ketibaan 160 pelajar dari Sarawak petang ini melibatkan 91 pelajar Terengganu, 30 pelajar Kelantan, 22 pelajar Pahang dan 17 pelajar Selangor.
 
“Saya berpuas hati dengan kelancaran proses penghantaran pelajar yang diuruskan secara keseluruhan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar serta dibantu oleh Pusat Kesihatan Universiti, Bahagian Keselamatan, Pejabat Pembangunan dan Harta, Pejabat Komunikasi Korporat, badan beruniform dan semua petugas sukarelawan UMT; Polis Diraja Malaysia; Majlis Keselamatan Negara; Kementerian Kesihatan Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.  
 
“Ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad atas sokongan berterusan dalam memastikan pelajar ini dapat pulang untuk bersama keluarga bagi menunaikan ibadah Ramadan seterusnya meraikan Aidilfitri,” katanya.