UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Pemerkasaan tenaga kerja perlu bagi memenuhi permintaan industri maritim negara

Pemerkasaan tenaga kerja perlu bagi memenuhi permintaan industri maritim negara

Thursday, 25/1/2024

Share This Article :

Malaysia merupakan negara maritim dengan mempunyai kira-kira 4,600 kilometer garis pantai meliputi laut china selatan, laut sulu, laut sulawesi dan selat melaka. Sekaligus meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maritim.

Industri maritim antara penyumbang besar dalam kemajuan dan kemakmuran ekonomi negara melalui pelbagai sektor merangkumi pelabuhan, perkapalan, rantaian bekalan dan lain-lain.

Penekanan aspek pendidikan khusus berkaitan bidang maritim dilihat perlu diperkasa bagi mendorong permintaan keperluan tenaga profesional, tenaga mahir dan tenaga separa mahir seiring kepesatan industri maritim negara.

Belanjawan 2024 memperuntukkan Sejumlah RM6.8 bilion bagi pendidikan program latihan teknikal dan vokasional (TVET) sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri. Bajet yang diluluskan itu perlu dimanfaatkan sebaiknya khususnya bagi pembangunan modal insan bidang maritim pelbagai peringkat.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen berkata pemerkasaan bakat pelapis penting bagi membangunkan negara seiring slogan Malaysia Madani.

“Pada era globalisasi ini, sektor maritim negara semakin berkembang saban tahun dan permintaan tenaga profesional bagi memenuhi keperluan pasaran tidak pernah berkurang. Program TVET diyakini dapat mengetengahkan gabungan pengetahuan serta kemahiran vokasional dan teknikal bersesuaian dengan keperluan industri semasa dan masa akan datang.

“Usaha kerajaan Malaysia dalam Membangun Malaysia Madani ini seharusnya disambut baik oleh agensi dan pemain industri untuk memastikan industri maritim kekal utuh melalui pembangunan profesional serta meningkatkan kapasiti dan kebolehpasaran modal insan dalam sektor ini. Program TVET bakal menjadi ‘nilai tambah’ dalam laluan kerjaya kerana ia meliputi program pemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) melalui pensijilan profesional.

Pelbagai usaha perlu dilakukan dalam meletakkan negara seiring dengan kemajuan negara pesaing dalam merealisasikan Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040  dari aspek pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang maritim.

Bagi tujuan tersebut, penawaran program pengajian dan kursus profesional di universiti mahupun kolej perlu lebih bagi memenuhi keperluan sumber manusia segenap lapisan seperti skop teknikal, bukan teknikal, eksekutif, jurutera, juruteknik profesional dan lain-lain.

UMT misalnya menawarkan program bidang maritim merangkumi seni bina kapal, sains nautika dan pengangkutan maritim, Teknologi maritim, perundangan kapal dan sebagainya. Ia sebagai langkah negara mempersiapkan warganya untuk terus mempelopori bidang kerjaya serta menyumbang tenaga kepakaran tanpa perlu mengharapkan warganegara asing sepertimana yang berlaku dalam sektor pembinaan.

Bagi melahirkan tenaga profesional yang memenuhi keperluan industri, universiti itu mempunyai ‘ramuan’ khas dalam usaha membentuk karakter dan nilai tambah graduan melalui pelbagai program termasuk kepimpinan dan ‘softskills’.

Menurut pensyarah Fakulti Pengajian Maritim UMT, Dr. Nur Hafiza Mr Muhamaruesa, pelajar universiti perlu dilengkapi dengan pakej holistik dan bukan sekadar cemerlang dalam bidang akademik.

“Hubungan universiti dan pemain industri amat penting bagi membina karakter pelajar berlandaskan acuan serta kehendak pasaran pekerjaan.

“Di UMT, pelajar-pelajar khususnya dari program bidang maritim didedahkan dengan aktiviti serta kerja lapangan sebenar. Kita juga bawakan pelajar-pelajar ini ke pelabuhan, mengadakan lawatan ke syarikat-syarikat perkapalan dan juga menganjurkan program libat sama antara pemain industri dan pelajar.

Menurutnya, program pemerkasaan mahasiswa seperti program sangkutan industri dan lawatan rasmi secara tidak langsung memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar untuk mempelajari dinamika operasi sebenar di sektor maritim termasuk aspek-aspek kritikal dalam perancangan dan pengendalian operasi terkini.

“Para pelajar diberi peluang untuk melawat Sistem Kawalan Trafik Pelabuhan dan Terminal Pengendalian Kargo Pelabuhan bagi melihat sendiri kaedah pengendalian operasi yang dilaksanakan di lapangan sekaligus membolehkan pelajar mengaitkan pembelajaran teori mereka di dalam bilik kuliah”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu