KUALA NERUS, 6 Oktober 2018 – Kira-kira 350 peserta dan lebih dari 50 orang suarelawan telah menyatakan sokongan kepada pesakit kanser dengan menyertai program walkathon anjuran Kelab Sokongan Kanser Payudara Samo Terengganu (SAMO) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Program tersebut melibatkan trek sepanjang kira-kira lima kilometer meliputi sebahagian besar kampus UMT.

Menurut Prof. Madya Dr. Noraznawati Ismail merangkap pengerusi Program yang juga pensyarah UMT berkata, program walkathon ini sebagai medium perkongsian maklumat bagi mencapai visi Kelab Samo Terengganu iaitu memberi dan menyebarkan maklumat berkaitan kanser payudara.

“Langkah ini bagi menyebarkan kesedaran berkaitan kanser payudara serta info-info mengenai langkah pencegahan awal yang boleh dilakukan. Selain itu, program ini juga diadakan bagi mengumpulkan komuniti untuk membantu dan menyatakan sokongan kepada penghidap kanser payudara. 

“Alhamdulillah, penganjuran kali ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan berbanding penganjuran pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan usaha kami dalam menyebarkan mesej kepada masyarakat mendapat reaksi positif.

Untuk rekod, Kelab Sokongan Kanser Payudara Samo Terengganu diwujudkan pada  tahun 2013  dengan visi meningkatkan kesedaran kanser payudara serta memberi sokongan kepada penghidap kanser dan bekas pesakit kanser sebagai fungsi utama kelab.

“Setiap peserta yang membayar yuran penyertaan juga merupakan selaku penderma kepada pesakit kanser kerana pihak kami menggunakan sumbangan yuran penyertaan program untuk membantu pesakit kanser mendapatkan rawatan serta peralatan sokongan seperti seperti “Oxygen Concentrator”dan sebagainya.

“Pihak kami juga mengalu-alukan organisasi, badan korporat, orang perseorangan dan lain-lain yang sudi membantu pesakit kanser payudara ini boleh berhubung terus dengan pihak kami untuk bersama-sama membantu pesakit.

Tambah Dr. Azna, pelbagai aktiviti menarik yang disediakan untuk menarik semua lapisan masyarakat untuk sertai program walkathon.

“Selain walkathon, kami juga mengadakan aktiviti sampingan seperti pemeriksaan kesihatan percuma, pameran SAMO, demo “relaxation therapy” dan lain-lain.

 

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dalam ucapannya turut menyokong usaha-usaha penyebaran maklumat berkaitan kanser payudara yang dilakukan seperti ini.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pihak SAMO Terengganu, iaitu sebuah badan sukarela yang dianggotai oleh pesakit dan bekas pesakit kanser payudara kerana berjaya menganjurkan program ini. Dengan penglibatan semua pihak terutamanya orang awam, pelajar Universiti dan anggota SAMO, secara tidak langsung, kita dapat mempamerkan sokongan dan semangat terhadap pesakit kanser payudara dalam mengharungi ujian penyakit yang ditempuhi”. Katanya.

 

Untuk keterangan lanjut :

 

Prof. Madya Dr. Noraznawati Ismail

Timbalan Pengerusi Kelab Samo Terengganu

Pensyarah

Institut Bioteknologi Marin

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 09-6683240

Emel : noraznawati@umt.edu.my

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu