UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT optimum tenaga, kepakaran bantu belia bangkit terkesan pandemik

UMT optimum tenaga, kepakaran bantu belia bangkit terkesan pandemik

Monday, 31/01/2022

Share This Article :

Kuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mewujudkan inisiatif bagi membantu pengusaha kecil terutamanya golongan belia yang mula bangkit memperkukuhkan perusahaan masing-masing.

Inisiatif itu dibentangkan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd Ghaffar ketika berucap pada Majlis Amanat Naib Canselor yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, UMT semalam.

Menurut beliau, beberapa kerjasama akan dibuat melalui perjanjian strategik dengan beberapa pihak termasuk kerajaan negeri Terengganu dalam usaha memabantu perusahaan kecil dan belia yang berhasrat memulakan perniagaan selepas dilanda pandemik Covid-19.

“Pada tahun ini, saya berharap inisiatif kerjasama strategik antara UMT dan kerajaan Negeri Terengganu dapat dilaksanakan bagi merancakkan lagi aktiviti pengkomersialan, bukan sahaja untuk syarikat start-up UMT, malah lebih penting, dapat membantu Industri Kecil Sederhana tempatan, yang berhadapan dengan masalah perniagaan akibat kesan pandemik COVID19, di samping mewujudkan peluang pekerjaan untuk para belia, pelajar dan komuniti setempat.

Tambah beliau, penyelidik UMT perlu menterjemahkan setiap kepakaran yang dimiliki untuk membantu komuti yang terkesan ketika mengharungi tempoh yang mencabar.

“Inisiatif ini diberi nama Inisiatif Terengganu Innovation Centre (TIC). Saya mahukan kepakaran dari penyelidik UMT, dapat digembleng dengan sebaiknya untuk memberi latihan, memulih, membina daya tahan, dan seterusnya melonjakkan pendapatan IKS tempatan, di samping, meningkatkan aktiviti pengkomersialan harta intelek berasaskan penyelidikan UMT.

Ujar beliau, UMT akan memfokuskan beberapa aspek penyelidikan dan pendigitalan dalam usaha meningkatkan pencapaian penarafan antarabangsa, keterlihatan serta dijadikan sumber rujukan utama negara bagi bidang sains marin dan sumber akuatik.

Dalam majlis itu Prof. Dr. Mazlan turut memperkenalkan lapan teras utama yang perlu diberi tumpuan seiring dengan perancangan Pelan Strategik UMT 2023-2027.

Antara teras baharu diperkenalkan ialah Teras Penyelidikan Dan Inovasi, Teras Bakat, Teras Pengajaran dan Pembelajaran, Teras Pembangunan Pelajar, Teras Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri, Teras Pengantarabangsaan dan Teras Kelestarian Kewangan.

Dikeluarkan oleh :

Pejabat komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu