UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Evolusi sektor maritim global tuntut lebih ramai tenaga profesional, mahir

Evolusi sektor maritim global tuntut lebih ramai tenaga profesional, mahir

Thursday, 21/3/2024

Share This Article :

Menjelang tahun 2030, sektor maritim global dijangka terus berkembang dengan pesat didorong oleh beberapa faktor utama. Antaranya pertumbuhan perdagangan antarabangsa yang berterusan akan mendorong permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan laut. Ini termasuk pengangkutan barangan, minyak dan gas serta pengangkutan penumpang.

 

Selain itu, isu-isu seperti perubahan iklim dan kelestarian alam turut dikaitkan dengan isu maritim. Ramalan cuaca yang lebih ekstreme dan peningkatan paras air laut juga memaksa industri maritim untuk mengambil langkah-langkah proaktif dalam usaha melindungi kelestarian laut dan pantai.

 

Pengembangan sektor maritim juga akan memberi peluang kepada pelbagai negara untuk memperluaskan lagi infrastruktur pelabuhan dan kemudahan logistik. Ini akan memberi impak positif kepada ekonomi tempatan serta membuka peluang pekerjaan baharu.

 

Pertumbuhan perdagangan dunia secara keseluruhan mendorong permintaan terhadap tenaga profesional dalam sektor maritim. Setiap tahun, perdagangan antarabangsa mengalami peningkatan signifikan yang menyebabkan permintaan terhadap kapal-kapal dagang seperti kapal kontena, ‘bulk carrier’, kapal tangki dan pengangkutan laut lain meningkat.

 

Kemajuan dalam teknologi maritim seperti penggunaan IoT, automasi dan AI mendorong keperluan tenaga profesional yang mahir dalam bidang tersebut. Pengurusan kapal yang menggunakan teknologi canggih memerlukan juruteknik dan jurutera yang berkemahiran dalam pemuliharaan, penyelenggaraan dan operasi peralatan yang digunakan sektor maritim.

 

Keperluan tenaga profesional yang berkelayakan dalam bidang maritim semakin meningkat. Ini termasuk jurutera keselamatan, pegawai pemeriksaan keselamatan, pengurus pelabuhan, pegawai operasi pelabuhan dan jurutera marin yang ‘pakar’ dalam mengendalikan sistem yang digunapakai sektor perkapalan dan pelabuhan.

 

Program pendidikan dan latihan dalam bidang maritim juga berperanan penting dalam menyalurkan tenaga profesional yang berkelayakan ke industri. Pelbagai institusi pengajian yang menawarkan program pengajian berkaitan bidang maritim seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT).  Generasi pelapis khususnya pelajar lepasan SPM dan kolej disaran untuk meneroka bidang pengajian maritim bagi merebut peluang yang terbuka luas dalam sektor maritim. Menariknya, bidang maritim bukan hanya untuk peluang kerjaya dalam negara, malah ia terbuka luas seluruh dunia. Antara pengkhususan yang boleh dipertimbangkan seperti pelayaran, kejuruteraan marin, sains nautika, senibina kapal, logistik, ‘supply chain management’, pengurusan maritim dan lain-lain.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Maritim, Dr. Izyan Munirah Zaideen berkata bidang maritim merupakan bidang terbesar dalam menjana pertumbuhan ekonomi merangkumi pelbagai subsektor.

 

“Malaysia diklasifikasikan sebagai sebuah negara maritim berdasarkan kepada keadaan geografinya yang terletak di laluan utama untuk perdagangan antarabangsa.

“Penerapan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sejajar dengan dasar dan inisiatif sedia ada, dapat memberi manfaat terutama kepada sektor perkapalan. Hal ini sekali gus dapat membawa aliran masuk pelaburan ke dalam sektor ini melalui aktiviti perdagangan.

 

“Secara amnya, industri maritim merangkumi beberapa sektor seperti pelabuhan dan perkapalan, pelancongan serta perikanan.

 

“Semua sektor ini mampu memberikan impak sangat positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia selaras dengan matlamat ke arah mencapai status negara maju”. Katanya.

 

Menurutnya, kelestarian industri maritim adalah teras kemakmuran ekonomi Malaysia melalui peluang pekerjaan, penjanaan pelaburan dan sebagainya yang akhirnya keuntungan itu dapat dinikmati oleh masyarakat umumnya.

 

Disediakan oleh :

 

Amirul Salam Hasan

Pejabat komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu