UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT lahir usahawan agro melalui program pemindahan ilmu

UMT lahir usahawan agro melalui program pemindahan ilmu

Sunday, 20/02/2022

Share This Article :

Batu Pahat, 17 Februari 2022 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan agenda membantu naik taraf ekonomi golongan berpendapatan rendah dan graduan yang berminat menceburi bidang pertanian.

 

Projek berkonsepkan pemindahan ilmu melibatkan kumpulan penyelidik UMT berkongsi kepakaran bidang masing-masing untuk dipelajari secara hands-on oleh kumpulan sasar.

 

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata beberapa projek telah dirangka oleh kumpulan penyelidik UMT untuk komuniti Parit Sulong, Johor sebagai inisiatif membantu golongan sasar menambah pendapatan.

 

“Antara inisiatif UMT untuk membantu pembangunan kapasiti komuniti adalah melalui pemindahan dan asimilasi ilmu serta teknologi yang dihasilkan oleh ahli akademik UMT melalui dana dalaman – Skim Geran Penyelidikan Translasional UMT.

 

“Geran ini adalah menghakupayakan komuniti melalui konsep inovasi sosial dalam membantu peningkatan sosio-ekonomi komuniti di samping membina jalinan kerjasama berterusan di antara universiti dan komuniti.

 

“Kali ini pihak UMT melebarkan jaringan kerjasama dengan komuniti di Parit Sulong melalui Projek Translasional Ternakan Kelulut serta Ternakan Udang Galah dan Tanaman Sayuran.

 

Projek pemindahan ilmu itu turut mendapat sokongan daripada Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bagi merasmikan majlis pelancaran projek-projek tersebut sempena Program Tautan Mesra Komuniti Parit Sulong dan Karnival Kementerian Tinggi#KeluargaMalaysia hari ini.

 

Selain itu, tambah beliau lagi beberapa program lain juga akan dilaksanakan seperti Projek Ternakan Udang Galah dan Tanaman Sayuran yang mengintegrasikan penternakan antara udang galah atau ikan dan sayur-sayuran.

 

“Projek penternakan udang galah dan tanaman sayuran ini bagi membantu komuniti meningkatkan taraf hidup berkaitan penghasilan sistem ternakan lebih mampan, mesra pengguna dan mampu beroperasi sehingga tempoh lebih 5 tahun.

 

“Projek ini cukup menarik iaitu berkonsepkan pengeluaran hasil ikan atau udang dan sayur-sayuran menggunakan modal permulaan yang rendah dan boleh ditempatkan di sudut terbuka.

“Saya percaya projek seperti ini akan membawa pulangan yang baik dari segi peningkatan taraf ekonomi komuniti Parit Sulong”.

 

Beliau berharap agar projek-projek yang dilaksanakan dapat melahirkan usahawan berkemahiran tinggi yang berdaya saing dan lestari dalam sektor agro-pelancongan setempat.

 

Sementara itu, UMT telah berjaya melahirkan usahawan melalui projek Kelulutpreneur melibatkan graduan universiti.

 

“UMT telah berjaya melahirkan sejumlah 30 graduan usahawan daripada pelbagai latarbelakang pengajian sehingga membuka syarikat yang terlibat di dalam ternakan kelulut. 

 

“Peserta Kelulutpreneur UMT didedahkan dengan modul latihan ternakan kelulut yang lengkap bermula dari awal sehingga kepada penghasilan produk-produk berasaskan madu. Teknik-tenik pemasaran produk melalui medium dalam talian yang terkini juga turut diajar bagi memastikan peserta kelulutpreneur berjaya di dalam kerjaya sebaga pengusaha kelulut yang mampan dan berdaya maju”.

 

Terdahulu, Program Kelulutpreneur UMT bersama kumpulan sasar melalui dana translasional UMT/KPT – Program pemindahan ilmu menggunakan kelulut sebagai platform telah berjaya dilaksanakan bersama kumpulan ibu tunggal di Kg Tempinis, Besut; Komuniti petani di Bukit Kor, Marang, Golong asnaf B40 di Kg Gemuruh, Kuala Nerus; Komuniti Nelayan di Kg Pengkalan Gelap, Setiu.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu