UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT TERAPKAN BUDAYA SAYANGI ALAM SEKITAR MELALUI AGIHAN MAKANAN PERCUMA

UMT TERAPKAN BUDAYA SAYANGI ALAM SEKITAR MELALUI AGIHAN MAKANAN PERCUMA

Monday, 23/11/2020

Share This Article :

Berikutan penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan, hampir kesemua negeri di Malaysia telah dikuatkuasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Bermula pada 09 November hingga 6 Disember 2020 negeri Terengganu tidak terkecuali dalam PKPB ini. Namun PKPB bagi negeri Terengganu telah dipendekkan kepada 21 November berikutan penurunan kes positif COVID-19 disini.

Dalam tempoh ini terdapat 531 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memilih untuk terus kekal di kampus dan luar kampus bagi memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara atas talian.

Menurut Profesor Dato` Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT berikutan PKPB ini daripada keseluruhan 531 pelajar tersebut, seramai 182 pelajar UMT yang terdiri daripada pelajar Asasi STEM, pelajar Diploma Perikanan serta pelajar Antarabangsa kekal berada dikampus bermula Ogos lepas, manakala seramai 349 pelajar berada di sekitar UMT.

“Berikutan itu juga UMT melalui inisiatif projek sukarelawan “Act of Kindness” (AOK) dan Gerobok Rezeki MUTIARA (GR) sentiasa menitikberatkan dan mengutamakan kebajikan para pelajar yang merupakan pemegang taruh terpenting di UMT”.

“Sukarelawan AOK-GR telah memulakan projek yang dinamakan “AOK-GR CORNER” yang merupakan aktiviti penyediaan makanan di kiosk yang berada di dalam kolej kediaman. Projek ini mula beroperasi sejak 23 Oktober lalu di Kafeteria Kolej Abdul Rahman Limbong atas permintaan para pelajar melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) susulan aktiviti AOK-GR Kitchen & Store semasa PKP Mac lalu”.

“Kiosk ini dibuka dengan tujuan membantu menyediakan makanan ringan seperti roti bakar, popia, murtabak maggi dan lain-lain kepada para pelajar yang ada di kolej kediaman sepanjang tempoh PKPP dan seterusnya PKPB, melalui pendekatan “Pay as you like” iaitu makanan percuma bagi yang tidak berkemampuan atau bayar ikut harga yang ditetapkan (tanpa profit/under cost) serta bayar ikut kemampuan atau lebih dengan niat untuk menyumbang”.Tambahnya.

Sementara itu Dr. Izan Binti Dato’ Haji Jaafar selaku penyelaras projek ini berkata sambutan yang diberikan amat menggalakkan oleh para pelajar yang masih berada di asrama semasa tempoh PKPB ini. Projek ini dikendalikan sepenuhnya oleh sukarelawan pelajar seramai sepuluh orang.

“Selain itu juga para pelajar diminta membawa bekas makanan sendiri bagi menggalakkan dan mendidik mereka untuk menjaga kelestarian alam. Waktu operasi AOK-GR CORNER bermula dari jam 5 petang sehingga jam 12 malam”. Ujarnya.

Projek ini mendapat kerjasama dan sokongan daripada KOSISWA yang membenarkan penggunaan kiosk KOSISWA secara percuma sepanjang satu semester ini selain Hal Ehwal Pelajar (HEPA), Kelab Wanita UMT (MUTIARA), Pusat Islam Sultan Mahmud UMT, kakitangan UMT, Alumni UMT, pelajar semasa dan orang awam yang prihatin menyumbang dalam kelangsungan projek ini.

Selain itu juga sumbangan daripada Projek Food Bank Siswa dibawah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan orang awam turut diagihkan bersama Operasi AOK-GR Corner.

Projek AOK-GR CORNER ini turut mendapat kerjasama dengan projek komuniti Cendawan Kulat.co UMT yang menyumbangkan cendawan tiram segar daripada sumbangan orang awam yang kemudiannya dimasak (cendawan crispy) dan dijual secara “Pay as you like” agar dapat dinikmati oleh para pelajar yang masih berada di kolej Kediaman.

 

Keterangan lanjut:

Dr. Izan Binti Dato’ Haji Jaafar    

Timbalan Pengarah/ Penyelaras Projek

Pusat Pembangunan Holistik Dan Kokurikulum (PPHK)

Emel: izanjaafar@umt.edu.my

No.h/p: 013-798 8634

 

Disediakan oleh:

 

Rozita binti Alias @ Abdul Latiff

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)