UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

TATAPAN QUR’ANI BAGI MANGSA COVID-19

TATAPAN QUR’ANI BAGI MANGSA COVID-19

Tuesday, 23/02/2021

Share This Article :

Saban hari kita disajikan dengan berita musibah Covid-19 yang telah memberi kesan buruk kepada dunia, negara dan diri manusia. Virus tersebut semakin hari semakin bermutasi seolah-olah tiada sempadan pengakhiran. Dalam kalangan umat manusia, istilah takut, gerun, bimbang, gusar, kesakitan, pengasingan dan kematian telah menjadi topik hangat perbualan harian.

 

Manakala bagi umat Islam di seluruh dunia, ia adalah ketentuan Allah SWT yang diyakini terkandung dalam Rukun Iman yang keenam iaitu percaya kepada Qada’ dan Qadar Allah SWT. Kesemua perkara yang besar dan kecil berada dalam pengetahuan Allah SWT melalui Sunnatullah iaitu ketentuan Ilahi. Ini selari dengan Surah al-Furqan ayat ke-2: “Dan Dia lah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna”.

 

Malah ia lebih daripada itu, perkara yang nampak dan tidak nampak juga dalam takdir Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ra’d ayat ke-8: “Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang daripada kandungan dalam Rahim atau lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya dengan kadar tertentu”.

 

Termasuk dalam takdir ialah terjadinya musibah Covid-19 dan manusia terpilih yang menjadi mangsa jangkitan Covid-19, sama ada yang telah sembuh, masih dalam rawatan atau pun telah meninggal dunia. Turut tidak terkecuali, kaum keluarga terdekat dan kontak rapat yang menjadi mangsa dan terkesan daripada apa yang berlaku sekali gus memberi impak kepada mental dan fizikal masing-masing.

 

Meskipun begitu, setiap perkara baik dan buruk yang ditakdirkan itu dibekalkan dengan hikmah di sebaliknya. Hikmah bagi setiap musibah hakikatnya telah dirakamkan dalam al-Quran berulang kali dan berfungsi sebagai panduan umat Islam secara teori dan praktikal sepanjang menjalani kehidupan di dunia. Bagi mangsa Covid-19, paling kurang lima tatapan Qur’ani ini perlu diketahui iaitu:

 

Mengenal Hakikat Diri

 

Islam menagajar umatnya menyebut Lafaz istirja’ (inna lillah wa inna ilaihi rajoiun) iaitu pengembalian kepada Allah SWT. Ia dikemukakan dalam al-Quran seawal surah al-Baqarah ayat ke-156 bermaksud: “Apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Lafaz ini membuktikan bahawa hakikat diri manusia yang terdiri daripada kelemahan dan sentiasa mengharapkan bantuan Allah SWT dari segenap sudut. Maka mangsa yang terlibat, disarankan memperbanyakkan berdoa di dalam dan luar solat sepanjang rawatan agar mendapat kesembuhan.

 

Kegagalan daripada mengenal hakikat diri akan menjerumuskan manusia kepada sikap takabur, sombong, ego dan bermegah dengan apa yang dimiliki secara pinjaman itu. Maka, lafaz tersebut apabila bermain dilidah, akan memberi kesan kepada jiwa sekali gus melatih untuk menghindari sifat-sifat buruk. Memasukkan elemen positif tentang asal usul diri dan mengingati pengakhiran diri iaitu kembali kepada Allah SWT jua.

 

Pengampunan Dosa

 

Penghapus dosa atau kaffarah dosa telah terdapat dalilnya dalam Surah al-Syura ayat ke-30: “Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan atau bala bencana, maka ia adalah disebabkan apa yang telah kamu lakukan dan Allah SWT memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu”. Pelbagai dalil lain yang menyokong perkara ini baik dari nas al-Quran, Hadith dan kalam Ulama’.

 

Mangsa yang terlibat perlu mengingati bahawa sakit itu sebagai penghapus dosa yang terdahulu walaupun ia penghapus dosa-dosa yang kecil tidak termasuk dosa besar. Namun ia penting supaya akhirnya seseorang itu tidak menanggung dosa yang banyak apabila bertemu Allah SWT di akhirat kelak. Maka ketika sakit, kurangkan mengeluh, sebaliknya tingkatkan istighfar mohon keampunan daripada Allah SWT secara berterusan di bibir mahu pun di hati.

 

Usaha dan Tawakal

 

Tawakkal bermaksud penyerahan diri kepada Allah SWT setelah usaha dilakukan sedaya mungkin, pergantungan kepada tuhan itu hakikatnya membuktikan dia tidak putus asa dalam mengharap bantuan Allah SWT. Surah Ali Imran ayat ke-159: “Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakal lah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawal kepada-Nya”.

 

Ayat tawakal di atas didahulukan dengan proses bermesyuarat dan berazam, kemudian disusuli proses tawakal. Maka syarat tawakal ialah usaha dan yakin kepada Allah. Mangsa covid-19 seharusnya berusaha meminta pandangan pakar dan berbincang sebaik mungkin, kemudian mengikuti saranan pakar bagi mengubati penyakit, diikuti dengan tawakal sebagai solusi jiwa. Ia menjadikan manusia bertanggungjawab terhadap diri sebagai nikmat yang diberikan oleh Allah SWT.

 

Ketenangan Hati

 

“Rehatkan hati supaya ia menjadi tenang”. Kata ini amat penting ketika ditimpa musibah kerana sering kali hati menjadi gelisah kerana memikirkan kesakitan yang dihadapi. Akibatnya, sakit menjadi semakin parah. Sakit fizikal kini merebak kepada mental.

 

Ketahuilah, penyakit itu datang dengan izin Allah SWT, dan hati orang beriman ketika musibah akan diberi ketenangan oleh Allah. Surah Al-Taghabun ayat ke-11: “Tidak ada musibah yang menimpa kecuali dengan izin Allah SWT, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Dia akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang), dan Allah Maha Mengetahui akan tiap sesuatu”. Maka, syarat hati itu menjadi tenang ketika sakit, adalah meningkatkan keimanan kepada Allah melalui keyakinan jiwa dan berbuatan amal soleh.

 

Sabar dan Solat

 

Elemen sabar dan solat ini berfomulasikan daripada firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat ke-153: “Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat, kerana sesungguhnya  Allah  bersama  (menolong) orang  yang  sabar”.

 

Ibn Kathir menegaskan, umat Islam hanya dalam dua keadaan, iaitu dalam kenikmatan dengan bersyukur atau dalam kesakitan dengan bersabar. Manakala sabar itu pula terbahagi kepada dua, sabar meninggalkan yang haram dan sabar melakukan ketaatan. Sabar kedua lebih diberikan pahala kerana itu yang lebih dipraktikkan dan dimaksudkan daripada ayat-ayat al-Quran.

 

Mangsa Covid-19 perlu bersabar dan perbanyakkan solat. Kedua-duanya adalah seiring kerana tanpa sabar, maka solat tidak dapat dilaksanakan secara sempurna. Sabar juga diberi ganjaran yang amat besar melalui firman Allah SWT Surah Al-Zumar ayat ke-10: “Sesungguhnya orang-orang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”. Ibn Juraij telah berkata, pahala olrang bersabar bukan berdasarkan amalannya sahaja, bahkan lebih daripada itu. Seperti ganjaran puasa yang tidak terhingga banyaknya, begitu lah juga ganjaran orang bersabar.

 

Justeru, SABAR merupakan kata kunci penting menghiasi kelima-lima tatapan al-Quran kepada mangsa Covid-10 pada perkongsian kali ini. Maka, tidak mustahil perkataan sabar ini disebut sebanyak 90 kali dalam al-Quran dan pengulangan tersebut memberi maksud penting dan signifikan kepada pembentukan sahsiah Muslim berteraskan nilai-nilai al-Quran khususnya ketika dijangkiti virus Covid-19.

 

Dr. Abdul Hanis Bin Embong,

Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan,

Universiti Malaysia Terengganu