Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dikenali dengan sebuah institusi yang menjaga kebajikan warganya terutama kumpulan pelajar yang memerlukan.

Bantuan wang pinjaman hanya cukup untuk membayar yuran serta pembelian peralatan pembelajaran serta perlu menampung kos keperluan hidup yang lain.

Sejajar dengan itu, Pejabat bendahari telah mengambil inisiatif melancarkan Program University Social Resposibility (USR) yang dikenali sebagai Happy Box.

Bendahari UMT, Zahara Kedri berkata program itu dilancarkan apabila melihat kesempitan hidup yang dialami oleh golongan berpendapatan rendah atau dikenali dengan B40.

“Idea ini datang daripada saya sendiri dan dipersetujui oleh rakan-rakan di pejabat ini yang terdiri daripada hampir 80 orang. Happy Box ialah hasil sumbangan secara sukarela daripada warga pejabat ini secara setiap bulan dan diagihkan kepada beberapa kategori pelajar.

“Selain dapat memupuk konsep berkongsi rezeki, happy box juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga staf dan juga mendekatkan jurang antara kakitangan UMT dengan pekerja swasta lain yang berkhidmat di UMT.

Menurutnya, sebanyak 10 siri agihan Happy Box telah dilaksanakan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM10,294.70 sepanjang tahun 2018.

“Sumbangan berupa pek makanan dan keperluan asas ini telah berjaya diagihkan kepada 1,246 orang pelajar terpilih.

“Program ini merupakan nilai tambah kepada perkhidmatan Pejabat Bendahari selain daripada memberikan perkhidmatan kewangan rutin . Maklumbalas yang positif diterima terutamanya daripada pelajar menjadi asas kepada pihak Pengurusan Pejabat Bendahari untuk meneruskan kesinambungan program ini pada tahun seterusnya”. Katanya.

 

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu