UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Pertandingan rekacipta dan inovasi pentas kembangkan kreativiti pelajar

Pertandingan rekacipta dan inovasi pentas kembangkan kreativiti pelajar

Wednesday, 05/07/2023

Share This Article :

Penganjuran Student Research Day 2023 merupakan inisiatif terbaik untuk pelajar mempamerkan kreativiti, daya reka cipta, inovasi dan semangat keusahawanan yang mempunyai impak yang signifikan dalam mendepani cabaran Revolusi Industri ke-4 (IR4.0).

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata  penganjuran itu antara usaha UMT dalam melahirkan graduan yang berinovatif.

“Hari penyelidikan dan inovasi ini bertujuan untuk menggalakkan para pelajar berinovasi serta memberi pendedahan kepada masyarakat setempat dan industri mengenai penyelidikan semasa yang telah dijalankan oleh pelajar UMT serta penerapan penyelidikan kepada industri dan masyarakat.

“Hampir 2,000 pelajar menyertai pertandingan ini dan rata-rata inovasi yang dihasilkan adalah merupakan Projek Ilmiah Tahun Akhir (PITA) yang dinilai oleh wakil pensyarah, organisasi kerajaan, wakil industri dan pakar dalam pelbagai bidang.

Mengulas lanjut, Dr. Zamri berkata penglibatan wakil industri dilihat sebagai penting dalam membuka ruang kepada para pelajar untuk dibuat penilaian secara langsung dan seterusnya membuka peluang tawaran pekerjaan di syarikat berkaitan.

Sementara itu, pemenang hadiah utama, Heng Siew Teng, pelajar Program Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Sains Tanaman) menganggap pengiktirafan itu sebagai penyuntik semangat untuk lebih kreatif menghasilkan inovasi baharu.

“Projek saya hasilkan bertajuk ‘Biochemical Profiling of Halotolerant Plant Growth- Promoting Rhizobacteria (HT-PGPR) Inoculated Rice Cultivated Under Saline Conditions’ bagi membantu para petani memperluaskan aktiviti penanaman padi di kawasan tanah masin.

Rhizobacteria yang diasingkan daripada zon akar halofit dan tahan terhadap garam akan diinokulasikan ke dalam biji padi.

“Projek ini dijangka dapat meningkatkan produktiviti padi, mengurangkan penggunaan bahan kimia dalam pertanian dan secara tidak langsung meningkatkan keselamatan makanan di Malaysia”. Katanya yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM600 berserta sijil dan trofi sempena Majlis Perasmian Penutupan Student Research Day 2023 yang berlangsung di Auditorium Mahyuddin UMT, Kuala Nerus semalam.

UMT yang ditubuhkan sebagai Pusat Perikanan pada 1979 telah melalui pelbagai peringkat evolusi berjaya menempa nama di pelbagai peringkat menerusi pencapaian akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan mahasiswa.

Antara pencapaian dan pengiktirafan yang telah diperolehi UMT iaitu penarafan oleh Times Higher Education (World University Rankings), Times Higher Education (Impact Rankings), Times Higher Education (World University Rankings by Subject), QS World University Rankings, QS University Rankings (Asia), UI GreenMetric, MyMoheS, Malaysia Research Assessment (MyRA) dan SETARA.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu