UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

IMTAS ubah lanskap penternakan udang komersil

IMTAS ubah lanskap penternakan udang komersil

Wednesday, 09/11/2022

Share This Article :

Sebanyak RM150,000.00 dana diperuntukkan bagi pembangunan prototaip sistem ternakan udang bagi tujuan komersil.

Sistem yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu mengadaptasikan kecanggihan teknologi dalam meningkatkan kecekapan operasi dengan pemantauan secara minima.

Prototaip yang dinamakan sebagai Indoor Multi-Techno Aquaculture System (IMTAS) dijangka berupaya meningkatkan tahap pengeluaran sekaligus mengekalkan kestabilan pasaran udang dalam negara.

Ketua penyelidik IMTAS, Prof. Madya Ts. Nor Azman Kasan berkata kaedah yang digunakan itu bakal memberi pulangan yang lumayan berbanding kaedah ternakan tradisional.

“IMTAS mengaplikasikan sistem Re-Circulating Aquaculture System (RAS) dan teknologi biofloc serta melibatkan penggunakan Internet of Things (IoT) sebagai kaedah pemantauan kualiti air secara lebih sistematik.

“Ia juga turut menggunakan ternakan rumpai laut atau lebih dikenali sebagai latok (Caulerpa sp.) dalam sistem tertutup sebagai salah satu sistem ternakan polikultur bersama-sama ternakan udang marin.

“Secara tidak langsung sistem ini akan dapat menjana pulangan yang lebih lumayan berbanding kaedah mono-kultur penghasilan rumpai laut”.

Menurutnya, sistem yang sedang dibangunkan itu merupakan kaedah ternakan udang marin super-intensif yang menggabungkan teknologi Rapid Biofloc (Rapid BFTTM), Internet of Things (IoT) dan beberapa teknologi lain.

“IMTAS juga membuka lembaran baharu kepada industri ternakan udang negara yang masih bergantung pada penggunaan kolam tanah secara kovensional.

Katanya, Rapid biofloc (Rapid BFTTM) yang digunakan pada sistem penternakan IMTAS itu adalah produk inovasi UMT yang berteraskan teknologi microb (bakteria) bagi sistem kawalan kualiti air.

“IMTAS juga boleh diaplikasikan pada keluasan kawasan ternakan secara maksima sesuai bagi ternakan udang marin pada skala komersil.

“Kecekapan sistem kawalan kualiti air hasil gabungan inovasi dan aplikasi IoT memudahkan pengusaha mengurus dan menyelia ternakan udang yang berskala besar disamping penggunaan air yang sedikit berbanding kaedah terdahulu.

Selain itu, katanya sistem yang bakal diperkenalkan itu boleh dipantau secara jarak jauh melalui aplikasi tefon pintar.

“Kaedah ini juga berupaya meminimumkan kadar kematian udang dengan pemantauan berterusan dan effisien. Ia juga mengurangkan jangkitan patogen dari sumber air baharu yang masuk secara berterusan akibat penyakit bawaan air (water borne diseases) yang mengandungi patogen berbahaya”

“Menariknya, kita perkenalkan kaedah kalawan dan pemantauan pada sistem IMTAS ini hanya melalui aplikasi telefon pintar”.

Universiti Malaysia Terengganu melalui AKUATROP telah menjalinkan pelbagai projek usaha sama bersama-sama pemain industri perikanan dan akuakultur.

Projek prototaip IMTAS itu bakal direalisasikan bersama-sama pemain industri akuakultur terkemuka, Serandu Aquaponic System Sdn. Bhd. (SERANDU) melalui perjanjian persefahaman yang telah dimeterai baru-baru ini di kampus Kuala Nerus.

Dikeluakan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu