UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PASANGAN KEMBAR ANTARA 309 GRADUAN KELAS PERTAMA RAI MAJLIS KONVOKESYEN UMT

PASANGAN KEMBAR ANTARA 309 GRADUAN KELAS PERTAMA RAI MAJLIS KONVOKESYEN UMT

Thursday, 09/12/2021

Share This Article :

Dua pasangan kembar meraikan hari bersejarah dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu kali ke-18 yang berlangsung selama lapan hari bermula 6 Disember 2021.

Nur Fatma Husna Majid dan pasangan kembarnya Nur Fatma Hasni Majid merupakan graduan Fakulti Pengajian Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT berkongsi pentas kejayaan setelah berhempas pulas selama empat tahun bagi menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda yang diminati.

Menurut Husna, melanjutkan pengajian di UMT merupakan pilihan yang tepat.

“Kami tidak pernah berjauhan sejak kecil. Selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR, saya buat keputusan untuk cuba berada di sekolah berasingan dengan kembar saya dan ketika itu saya berjaya ditawarkan di sekolah berasrama penuh di Kelantan manakala kembar saya meneruskan persekolahan berasrama penuh di Terengganu” Katanya yang merupakan anak pertama dan kedua daripada lapan adik beradik.

Ujar Husna, pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi ketika berjauhan.

“Melihat kesukaran ibu bapa untuk menguruskan kami yang tinggal berasingan negeri, saya dan pasangan kembar bersetuju untuk meneruskan pengajian ke Tingkatan 6 selepas tamat SPM.

“Pengorbanan itu agak sukar namun saya tekad demi memudahkan ibu bapa disamping menjimatkan perbelanjaan pengajian dan hanya perlu tinggal di rumah bersama keluarga”. katanya yang juga penerima biasiswa daripada agensi perbankan terkemuka.

“Kami memilih UMT kerana program yang ditawarkan menepati minat saya dan pasangan kembar serta kami diterima melanjutkan pengajian di universiti yang sama.

Detik manis Majlis konvokesyen itu juga menjadi sejarah yang tidak akan dilupakan buat pasangan kembar Husna dan Hasni apabila kedua-duanya dianugerahkan ijazah kelas pertama dalam sesi yang berbeza.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan sangat gembira kerana kami berjaya bergraduat kelas pertama dan kejayaan ini merupakan hadiah dari kami kepada ibu bapa atas pengorbanan yang telah dibuat untuk kami.

Pasangan kembar itu terus menanam impian untuk menempa kejayaan di peringkat lebih tinggi.

“Kami telah mendaftar sebagai pelajar pasca siswazah di UMT bagi meneruskan pengajian peringkat sarjana. InsyaAllah, kami akan buat yang terbaik bagi menempa kecemerlangan untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat”. Katanya.

Majlis konvokesyen UMT kali ke-18 berlangsung di Dewan Sultan Mizan menyaksikan sejumlah 2,878 pelajar yang bergraduasi dalam norma baharu.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu