UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

LAUT UNTUK SEMUA

LAUT UNTUK SEMUA

Tuesday, 02/06/2020

Share This Article :

Pertubuhan makanan dan pertanian juga menyatakan bahawa 75% sumber perikanan telah mengalami ekploitasi secara berlebihan. Malah mengejutkan lagi, kajian saintifik oleh pakar perikanan dari Kanada dan Amerika Syarikat menunjukkan stok perikanan dunia akan habis menjelang tahun 2048.

Purata minimum protein yang diperlukan oleh manusia adalah 0.8gram sehari. Dalam setahun manusia paling minimum 29kg protein. Tahukah kita, sumber protein yang murah adalah daripada perikanan? Sumber perikanan ini boleh hadir daripada pendaratan ikan liar dan akuakultur.

Malaysia merupakan salah sebuah negara maritim dan dikelilingi laut seluas 614, 000 kilometer persegi. Tanpa kita sedari, sektor perikanan telah menyumbang lebih kurang 1.5% kepada kadar keluaran negara kasar (KDNK )dan telah menyediakan peluang perkerjaan kepada 130,645 nelayan di Malaysia. Sumbangan perikanan kepada ekonomi negara tidak dapat dipertikaikan lagi.

Universiti Malaysia Terengganu yang mempunyai kepakaran dalam menerokai rahsia laut biru ini telah dipertanggungjawabkan bagi melestarikan sumber perikanan yang semakin terhakis ini. Tahukah kita pada tahun 2018, Malaysia telah kehilangan 6 Bilion kerana perikanan IUU. Ini tidak termasuk hampir 43% ikan baja yang terperangkap dalam pukat tunda.

Di Malaysia, Zon penampan bagi kelestarian sumber perikanan terletak pada persisiran pantai, iaitu 0-1 batu nautikal (b.n) dan 1-8 b.n. Kawasan ini merupakan kawasan yang kaya dengan nutrien dan makanan hidup bagi anak ikan. Habitat ini seharusnya diuruskan dengan baik bersandarkan kajian yang mendalam dan teliti.

Kedudukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terletak berhampiran lautan, telah mendekatkan penyelidik dengan para komuniti nelayan di sekitarnya.  Di Kuala Terengganu sahaja, terdapat 1,812 nelayan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia. Manakala terdapat lebih 400 nelayan berdaftar di sekitar Universiti Malaysia Terengganu.

Punca pencarian rezeki nelayan ini adalah penerokaan sumber perikanan di persisiran pantai. Mengikut data terkini daripada Jabatan Perikanan Malaysia pada tahun 2017, terdapat 19, 507 bilangan pukat hanyut di Malaysia. Kebanyakkan pukat hanyut ini digunakan oleh nelayan pesisir pantai yang mempunyai bot kecil dan enjin sangkut.

Geografi pesisir pantai di sekitar UMT telah terkesan teruk oleh hakisan pantai yang berlaku pada musim monsun. Malah pemecah ombak yang dibina dengan menggunakan batuan gergasi bagi menghalang hakisan ini, secara tidak langsung telah mengubah ekologi perikanan di sekitarnya. Malah nelayan mengalami kesukaran untuk mencari sumber rezeki mereka.

Antara masalah yang dihadapi oleh komuniti nelayan adalah ikan yang semakin berkurangan, saiz ikan yang diperolehi semakin mengecil, perubahan jenis ikan di persisiran pantai , peralatan perikanan yang semakin tidak berkesan dan kawasan tumpuan ikan mengikut saiz dan jenisnya.

Terpanggil bagi meringankan beban para komuniti nelayan. Penyelidik UMT telah membina unjam dan tukun tiruan bagi menggantikan habitat yang telah musnah akibat hakisan pantai ini. Tukun dan unjam ini telah di letakkan di kawasan yang berpotensi untuk menjadi habitat baru bagi sumber perikanan. Selepas 2 tahun, didapati beberapa jenis spesis ikan komersial telah mulai hadir di sekitar unjam dan tukun ini.

Unjam dan tukun yang diletakkan ini pada mulanya akan mempengaruhi pertumbuhan tumbuhan akuatik seperti terumbu karang. Terumbu karang ini pula akan menarik perhatian plankton yang menjadi sumber makanan ikan kecil. Apabila ikan kecil hadir, ikan yang bersaiz lebih besar akan hadir di kawasan tukun dan unjam tersebut.

Masalah seharian yang dihadapi oleh nelayan dalam menerokai sumber lautan adalah menentukan lokasi ikan yang sesuai mengikut jenis dan saiznya. Kebanyakkan para nelayan pesisir pantai, menentukan lokasi perikanan dengan menggunakan kehadiran ikan lumba-lumba yang mengepung ikan pelagik, kehadiran burung camar dan kehadiran ikan tersebut di permukaan air. Namun teknik ini mengambil masa dan memakan kos yang tinggi, terutamanya dari segi penggunaan minyak.

Di zon penampan ini juga, selain bubu, perangkap ketam, kebanyakkan nelayan pesisir pantai bergantung sepenuhnya kepada pukat hanyut dalam operasi mereka. Terdapat 33, 502 nelayan yang menggunakan pukat hanyut di Malaysia. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding peralatan perikanan yang lain seperti pancing (6, 318), pukat tunda (5,875), bubu (1, 163).

Keberkesanan pukat hanyut ini bergantung sepenuhnya kepada kemampuan nelayan untuk mengesan lokasi panas tumpuan ikan. Sebagai contoh, mengesan ikan dengan menyelam dan melihat sendiri kawasan ikan dalam laut. Namun teknik ini tidak diajar kepada nelayan lain dan selalunya diwarisi secara turun-temurun.

Penyelidik UMT telah membantu nelayan mengenalpasti lokasi panas ikan ini dengan menggunakan penduga gema. Setelah data yang dikumpulan oleh penduga gema ini di analisis, lokasi tumpuan ikan mengikut jenis dan spesis dapat dikenalpasti dengan lebih tepat. Di samping membantu meningkatkan ekonomi nelayan, ianya mampu membantu kelestarian sumber perikanan.

Pukat hanyut yang digunakan juga dicantumkan dengan bukaan saiz yang berbeza bagi mengurangkan tangkapan sampingan. Pukat hanyut ini juga diletakkan di kawasan yang sesuai dan menjimatkan masa nelayan dalam pencarian lokasi ikan komersial. Ada juga pukat hanyut ini ditukarkan daging pukatnya bagi memastikan ianya tidak mencederakan ikan secara serius, sekiranya terjerut.

Selain kesan rumah hijau, peningkatan paras air laut dan perubahan suhu, pembinaan pemecah ombak juga telah mempengaruhi habitat perikanan dan komposisi perikanan di sekitar pantai UMT. Ianya secara tidak langsung juga menjejaskan keberkesanan alatan perikanan yang digunakan dalam aktiviti seharian. Penyelidik UMT telah membantu komuniti nelayan dengan mengubahsuaian alatan perikanan dari segi saiz, bentuk, unjap. Malah ada antara peralatan ini diubah suai agar boleh dilipat bagi memudahkan untuk dibawa dalam kuantiti yang banyak dalam operasi.

Kajian saintifik yang dilakukan oleh penyelidik UMT sedikit sebanyak memberi sumbangan kepada para komuniti nelayan di sekitarnya. Ilmu saintifik ini telah diterjemah dengan jelas dan membantu sosio-ekonomi secara tidak langsung. Semoga hubungan yang terjalin di antara komuniti nelayan dan penyelidik memberi impak yang positif kepada kelestarian sumber perikanan.

*Penulis adalah pensyarah kanan di dalam bidang Teknologi Alatan Perikanan dan Ekologi Perikanan di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu.