UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT dan SATU meterai perjanjian, fokus kualiti bekalan air bersih

UMT dan SATU meterai perjanjian, fokus kualiti bekalan air bersih

Tuesday, 19/09/2023

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Syarikat Air Terengganu (SATU) Sdn Bhd berhubung pembekalan air bersih dari loji rawatan air untuk kegunaan penduduk negeri Terengganu.

Majlis menandatangani perjanjian antara Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar, dan Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts Abdul Karim Endut berlangsung di kampus UMT, Kuala Nerus.

Dr. Mazlan berkata, kerjasama yang dimeterai susulan daripada hubungan baik kedua-dua pihak dalam mengadakan libat sama bagi penambahbaikan rawatan dan kualiti air menggunakan bahan kimia khas.

“Hubungan kerjasama antara UMT dan SATU telah bermula pada 2018 apabila pensyarah dan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik UMT diberi peluang untuk menjalankan penyelidikan berkaitan bahan kimia rawatan air (koagulan).

“UMT telah telah mengemukakan cadangan projek berkaitan kepakaran ahli akademik UMT dan sekumpulan penyelidik dari UMT juga telah dibenarkan melakukan ujian koagulan pada loji-loji rawatan air bagi penambahbaikan rawatan dan kualiti air untuk dibekalkan kepada penduduk negeri ini.

Katanya, penglibatan pihak industri dalam universiti amat dialukan bagi memperkasa kebolehpasaran mahasiswa UMT seiring keperluan industri.

“Kita berbesar hati dan mengalu-alukan rakan-rakan industri untuk bersama-sama UMT dalam usaha pemerkasaan akademik khususnya mahasiswa sesuai dengan bidang serta kepakaran yang dimiliki oleh pihak industri agar graduan yang bakal dihasilkan mempunyai pakej lengkap, dinamik, holistik yang memenuhi pasaran dan keperluan industri”

“Saya percaya kerjasama ini akan membawa impak yang lebih besar bukan sahaja kepada bakat UMT tetapi juga kepada hasil penyelidikan yang akhirnya memberi manfaat kepada pengurusan SATU dan ekosistem masyarakat sekitar selaras dengan slogan UMT iaitu ‘Terokaan Seluas Lautan Demi Kelestarian sejagat’”. Katanya.
UMT yang ditubuhkan sebagai Pusat Perikanan pada 1979 telah melalui pelbagai peringkat evolusi berjaya menempa nama di pelbagai peringkat menerusi pencapaian akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan mahasiswa.
Antara pencapaian dan pengiktirafan yang telah diperolehi UMT iaitu penarafan oleh Times Higher Education (World University Rankings), Times Higher Education (Impact Rankings), Times Higher Education (World University Rankings by Subject), QS World University Rankings, QS University Rankings (Asia), UI GreenMetric, MyMoheS, Malaysia Research Assessment (MyRA) dan SETARA.

 

Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu