UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT, Komuniti gembleng tenaga perangi aedes

UMT, Komuniti gembleng tenaga perangi aedes

Sunday, 20/08/2023

Share This Article :

Berikutan peningkatan kes demam denggi yang semakin meningkat saban hari, masyarakat mula saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain sebagai punca kepada kes peningkatan demam denggi di negara ini.

Komuniti setempat dikatakan gagal menjaga kebersihan sebaiknya dalam memastikan setiap takungan air perlu dibersihkan atau dimusnahkan jika ingin menghapuskan nyamuk aedes daripada terus membiak.

“Kita sering dengar keluhan dalam masyarakat yang kurang kesedaran untuk memberi kerjasama ketika aktiviti semburan kabus oleh pihak atas pelbagai alasan. Sebenarnya, pembiakan nyamuk aedes berpunca daripada kurangnya pengetahuan masyarakat mengenai cara menangani nyamuk aedes”. Kata Pengarah Pusat Kesihatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Arnie A. Rahim ketika menyampaikan ucapan sempena Program Gotong-Royong UMT2023 Bersama Komuniti Kg. Kubang Badak, Kuala Nerus baru-baru ini.

Katanya, program itu perlu diadakan dengan penglibatan semua pihak sebagai usaha memerangi wabak denggi yang membahayakan dan mampu meragut nyawa.

“Program Pencegahan Denggi seperti Perangi Aedes yang diadakan setiap tahun telah banyak membantu dalam mencegah kejadian wabak penyakit seperti wabak denggi di kawasan kampus UMT mahupun kawasan sekitar luar kampus khususnya di daerah Kuala Nerus.

Ujarnya, UMT bukan sahaja fokus kepada bidang akademik, malah turut mengangkat elemen penjagaan diri serta kebersihan di lokaliti kediaman mahasiswa.

“Adalah menjadi keutamaan dan tanggungjawab UMT dalam usaha menyebarkan kempen amalan kebersihan bukan hanya kebersihan diri, malah kebersihan alam sekitar sekaligus usaha ini memberi kesedaran tentang punca dan kesan bahayanya denggi kepada msyarakat”.

Tambahnya, penularan wabak denggi mampu dikawal sekiranya semua pihak menggembleng tenaga dalam menghapuskan punca pembiakan nyamuk aedes.

“Justeru, amatlah penting kesedaran dan semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kebersihan persekitaran rumah dan jika perlu anjurkan program gotong royong dikawasan taman perumahan dengan lebih kerap agar usaha mengurangkan jangkitan dan penularan jangkitan penyakit dapat dicapai”.


Program Gotong-Royong UMT2023 Bersama Komuniti itu turut mendapat perhatian daripada hampir 150 peserta yang terdiri daripada Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus, Komuniti Kg. Kubang Badak serta pelajar Diploma dan Asasi STEM UMT.