KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mempertingkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat pelajar melalui Pertandingan Amalan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran 2018 anjuran Pusat Perancangan, Pembangunan dan Kualiti Akademik UMT.

 

Sebanyak 65 projek inovasi yang dipertandingkan meliputi 33 projek transformatif tanpa teknologi dan 32 projek transformatif dengan teknologi.

 

Pertandingan yang julungkali diadakan itu merupakan platform untuk mencungkil bakat dan menggalakkkan pembudayaan inovasi dalam P&P dalam kalangan Pensyarah bagi memenuhi keperluan serta meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar. 

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyebarluas dan berkongsi amalan terbaik inovasi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh pensyarah.
 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Ts. Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali berkata pertandingan itu merupakan platform mencungkil dan mengetengahkan konsep pengajaran dan pembelajaran masa kini.

“Ia juga sebagai satu platform untuk menggalakkan setiap warga pensyarah berkongsi idea-idea kreatif dan bernas dalam memudah cara tugas-tugas pengajaran supaya lebih efektif dan berimpak.   Inovasi tidak semestinya kita mencipta sesuatu kaedah yang baharu. Sebaliknya, inovasi mungkin terhasil daripada penambahbaikan daripada kaedah sedia ada yang digunakan.

 

”Pertandingan ini  juga sangat relevan dalam menjayakan agenda inovasi negara selain wadah untuk memartabatkan inovasi di negara ini khususnya yang melibatkan Universiti Awam.  Selain itu, pertandingan ini juga satu mekanisme yang tepat dalam mengenalpasti bakat atau calon pensyarah bersama inovasi mereka dalam kaedah pengajaran untuk diketengahkan, dikongsi serta diiktiraf di peringkat yang lebih tinggi.

 

Tambah beliau, inovasi pengajaran dan pembelajaran merupakan kriteria penilaian bagi memperoleh Anugerah Akademik Negara yang mana program secara tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai pengiktirafan dan sanjungan kepada tenaga pengajar di IPT atas kesarjanaan dan kecemerlangan.

 

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu