Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyatakan Komitmen mempersiapkan pelajarnya dalam usaha melahirkan graduan cemerlang secara holistik melalui penganjuran program kesenian melalui Pementasan Teater Ragam.

Program anjuran Pusat Kebudayaan dan Kesenian UMT itu bertujuan mencungkil bakat pelajar dalam bidang seni melalui persembahan menghiburkan oleh lebih 40 pelajar.

Walaupun pelajar-pelajar UMT terdiri daripada aliran sains, namun hasil tunjuk ajar dan bimbingan dari Artis Budaya UMT, Mohamed Azman Hassan@Jusoh membuatkan pelajar-pelajar tidak kekok mempamerkan keserasian yang memukau lebih 1,500 penonton menyaksikan persembahan yang padat dengan mesej tersirat.

Menurut beliau, Pusat Kesenian dan Kebudayaan UMT berjaya menampilkan generasi pelapis yang berbakat dan akan terus menyokong aktiviti untuk memartabatkan seni budaya melalui program itu.

“Malaysia mempunyai budaya dan tradisi tersendiri dan saya yakin melalui penganjuran teater kali ini dapat memupuk minat pelajar terhadap seni dan budaya agar diwarisi oleh generasi akan datang.

“Pada akhir program ini, diharap setiap bakat yang digilap melalui program ini mampu memberi nilai tambah kepada pelajar selain cemerlang dalam pencapaian akademik. katanya.

Peserta pementasan festival ini adalah pelajar yang terdiri dari beberapa persatuan seperti Persadatari, Kelab Gemersik, Persatuan Seni Silat dan persembahan artis jemputan dalaman UMT.

Turut hadir menyaksikan persembahan teater itu ialah Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar bagi menyatakan sokongan kepada perkembangan aktiviti pelajar.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu