UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Lancet 2021 : Kesan perubahan iklim mampu ditangani melalui kerjasama semua negara

Lancet 2021 : Kesan perubahan iklim mampu ditangani melalui kerjasama semua negara

Tuesday, 23/11/2021

Share This Article :

Isu pemanasan global dan perubahan iklim sering diperkatakan saban tahun. Ramai antara rakyat Malaysia khususnya masih tidak jelas dengan isu ini, malah sedikit pun tidak mengubah cara hidup ke arah mengurangkan kesan pemanasan global yang kian menghimpit dunia.

 

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sebuah universiti awam yang mempunyai bidang kepakaran berkaitan kelestarian alam sekitar telah mengambil inisiatif menganjurkan seminar  antarabangsa bagi mencari solusi terbaik dalam usaha menangani kesan pemanasan global dan impak terhadap kehidupan.

 

Seminar yang dinamakan sebagai Malaysia Launch of The 2021 Report of the Lancet Countdown on Health and Climate Change merupakan kerjasama diperingkat antarabangsa yang memantau kesihatan global akibat daripada perubahan iklim. Bagi mendapatkan data yang terkini dan tepat, Lancet Countdown 2021 telah berjaya mengumpulkan penyelidik-penyelidik daripada 43 institusi akademik dan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melibatkan pelbagai bidang kepakaran.

 

Turut menyokong penganjuran kali ini iaitu YB Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi selaku perasmi bagi penganjuran The 2021 report of the Lancet Countdown on health and climate change: code red for a healthy future.

 

Memetik ucapan Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata UMT aktif dalam mempromosikan isu-isu berkaitan tekanan stok makanan negara dan perubahan iklim.

 

“UMT memiliki Makmal Penyesuaian Perubahan Iklim (CCA) yang serba lengkap dengan teknologi termaju di Institut Bioteknologi Marin, UMT. Dengan adanya Makmal CCA ini, UMT bersedia sebagai peneraju penyelidikan berkaitan spesies akuatik Malaysia dan penyesuaian iklim, mempromosikan pembangunan hasil saintifik dan pangkalan data untuk manfaat negara selain Institut Akuakultur Tropika bertindak sebagai Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi (HICoE) yang menyokong Dasar Keselamatan Makanan Negara melalui produk akuakultur sebagai sumber Makanan masa depan”. Katanya yang juga selaku Pengasas dan Ketua Penyelidik Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

 

Menurut laporan Lancet 2021, suhu yang dicatatkan pada tahun 2020 telah mengakibatkan lebih 3.1 bilion manusia terdedah kepada gelombang haba setiap hari khususnya kepada mereka yang berumur lebih dari 65 tahun, dan kepada lebih 626 juta manusia setiap hari termasuklah kanak-kanak yang berumur kurang daripada 1 tahun, berbanding purata tahunan pada 1986-2005.

 

Petani-petani di negara-negara Indeks Pembangunan Manusia (IPM) rendah dan sederhana adalah antara yang paling terjejas akibat pendedahan kepada suhu yang melampau sekaligus mengakibatkan kehilangan hampir separuh daripada 295 bilion waktu kerja mereka akibat pemanasan haba pada tahun 2020. Kehilangan waktu bekerja ini telah menyebabkan keruntuhan ekonomi yang dahsyat kepada petani-petani tersebut. Laporan itu menunjukkan bahawa purata kehilangan pendapatan di negara-negara dalam kumpulan IPM rendah adalah sekitar 4-8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Kesan-kesan yang dibentangkan dalam Lancet 2021 seperti kenaikan suhu purata, perubahan pola air hujan, impak perubahan iklim telah melambatkan proses dalam menangani masalah ketidakselamatan makanan dan air yang banyak mempengaruhi populasi manusia di seluruh dunia yang mengakibatkan kesihatan terjejas.

Pada tahun lalu juga hampir 19% permukaan tanah telah dilaporkan terjejas akibat kemarau melampau yang mana nilai itu tidak pernah direkodkan sebelum ini, iaitu melebihi 13% antara tahun 1950 dan 1999. 

Selari dengan keadaan musim kemarau, peningkatan suhu mempengaruhi hasil tanaman utama dunia iaitu pengurangan 6.0% jagung; 3.0% gandum; 5.4% kacang soya; dan 1.8% beras pada tahun 2020, berbanding tahun 1981-2010.

Melalui pelbagai bahaya risiko kesihatan, kesan perubahan iklim telah mengancam kesihatan awam dan pembangunan yang mampan yang disusun sebelum ini.

Melihat dari sudut kesihatan, perubahan persekitaran turut menyumbang kepada peningkatan penyebaran patogen bawaan air, bawaan udara, bawaan makanan dan bawaan vektor. Walaupun perkembangan sosioekonomi, intervensi kesihatan masyarakat dan kemajuan dalam bidang perubatan dilihat mampu mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit, namun kesan perubahan iklim juga berpotensi merencatkan keseimbangan tersebut.

Jika disingkap kembali, 10 bulan sebelum memasuki tahun 2021, akses global terhadap vaksin COVID-19 masih belum dapat disempurnakan dimana lebih daripada 60% populasi manusia di negara berpendapatan tinggi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 berbanding hanya 3.5% manusia di negara berpendapatan rendah. Data dalam laporan itu turut menunjukkan ketidakselarian dalam respons mitigasi perubahan iklim global.

Lancet 2021 juga memfokuskan matlamat bagi mencapai Paris Agreement serta mencegah bencana pemanasan global, data kajian menunjukkan aktiviti pelepasan gas rumah hijau harus dikurangkan dalam tempoh terdekat. Walaubagaimanapun, berdasarkan kadar pengurangan sekarang, dunia memerlukan lebih 150 tahun untuk menyah-karbon sepenuhnya dan ia memerlukan kerjasama serta kesedaran dari semua negara.


Walaupun negara-negara dalam kelompok IPM tinggi secara keseluruhannya telah menyumbang kemajuan paling besar dalam proses penyah-karbon, mereka masih lagi menjadi penyumbang utama pelepasan gas CO2 melalui pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan tempatan yang menyumbang 45% dari jumlah global.

Dengan kadar dekarbonisasi yang perlahan dan peraturan kualiti udara yang lebih buruk daripada negara-negara dalam kumpulan IPM sangat tinggi, kumpulan negara IPM sederhana dan tinggi menghasilkan pelepasan bahan zarah yang paling halus dan mempunyai kadar kematian berkaitan pencemaran udara yang paling tinggi, dimana kira-kira 50% lebih tinggi daripada jumlah kematian dalam kumpulan IPM sangat tinggi.

Manakala kumpulan IPM rendah, dengan jumlah aktiviti perindustrian yang lebih rendah daripada kumpulan lain, mempunyai pengeluaran tempatan yang menyumbang hanya 0.7% dari pelepasan CO2 global dan mempunyai kadar kematian terendah kesan dari pencemaran udara. Akan tetapi, dengan hanya 12% penduduknya yang bergantung pada bahan bakar dan teknologi bersih untuk memasak, kesihatan penduduk ini masih berisiko dari pencemaran udara isi rumah yang tinggi.

Walaupun di negara-negara yang paling maju, populasi manusia di daerah yang paling miskin menanggung beban bahaya kesihatan akibat terdedah kepada pencemaran udara. Penemuan ini memberi respons terhadap fasa peralihan karbon rendah dapat mengurangkan perbelanjaan kos kesihatan melibatkan berjuta-juta kematian setiap tahun.

Pengurangan pelepasan karbon yang terhasil sepanjang tempoh pemulihan COVID-19 yang intensif secara tidak langsung dapat menghalang dunia daripada dihimpit kesan perubahan iklim selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (MPL).


Data yang dikemukakan dalam Lancet 2021 turut mendedahkan kesan kesihatan dan ketidaksamaan kesihatan dunia semasa pada suhu 1.2°C pada tahap pra-industri yang menyokong bahawa perubahan iklim akan menjadi naratif yang menentukan tahap kesihatan manusia.

Terdapat sekilas perubahan positif melalui beberapa pola yang menarik dalam data laporan tahun ini yang mana penjanaan elektrik daripada tenaga angin dan tenaga solar yang boleh diperbaharui meningkat dengan purata tahunan 17% antara 2013 dan 2018; pelaburan dalam kapasiti arang batu menurun sebanyak 10% pada tahun 2020 dan jumlah kenderaan elektrik global mencapai 7.2 juta pada tahun 2019.

Selain itu, pandemik global telah mendorong peningkatan penglibatan dalam perubahan kesihatan dan iklim di pelbagai domain dalam masyarakat dengan penglibatan serta kerjasama daripada semua negara bagi merangka pelan terbaik ke arah kesejahteraan dan kelestarian sejagat.

Wabak COVID-19 dan kesan perubahan iklim merentasi sempadan negara. Tanpa vaksinasi yang meluas dan dapat diakses oleh semua negara dan masyarakat, SARS-CoV-2 dan varian barunya akan terus membahayakan kesihatan manusia. Demikian juga, bagi menangani perubahan iklim, semua negara seharusnya memberikan respons yang pantas dan tersusun, dengan sumber dana pemulihan untuk menyokong dan memastikan peralihan fasa rendah karbon serta penyesuaian perubahan iklim di seluruh dunia dapat dicapai.


Lancet 2021 dapat disimpulkan bahawa dengan mempromosikan mitigasi perubahan iklim yang sekata dan kemudahan akses kepada tenaga terbaharu, ia diharap dapat mencegah berjuta-juta kematian melalui pengurangan pendedahan kepada pencemaran udara, pengambilan diet yang lebih sihat, gaya hidup yang lebih aktif, seterusnya menyumbang kepada pengurangan ketidaksamaan kesihatan secara global. Keadaan ini amatlah penting untuk merangsang semula ekonomi dan merupakan titik perubahan untuk menjamin kesihatan generasi sekarang dan akan datang.

 


Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu