UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Kempen lindungi alam sekitar diperluaskan melalui penganjuran WOW’22

Kempen lindungi alam sekitar diperluaskan melalui penganjuran WOW’22

Tuesday, 07/06/2022

Share This Article :

Lautan dan kehidupan saling berkait antara satu dengan yang lain. Manakan tidak, air lautan yang tersejat dari haba yang dipancarkan oleh sinaran matahari menghasilkan hujan dan juga fenomena pertukaran siang dan malam memberikan nikmat tidak ternilai kepada manusia serta hidupan di daratan.
 
 
 
Peningkatan suhu lautan sering kedengaran diulas oleh pakar dan juga penyelidik bagi mencari titik imbangan antara kemodenan dan kesejahteraan.
 
 
 
Lautan bukan sahaja sebagai lubuk rezeki, malah ia juga merupakan platform penting bagi urusan pengangkutan dan perdagangan dunia. Sistem perhubungan laut telah memberi sumbangan besar terhadap sektor ekonomi selain perkembangan sosial seperti budaya dan agama.
 
 
 
Demi menghargai sumbangan lautan, maka dunia secara sebulat suara menetapkan bahawa tanggal 8 Jun sebagai Hari Lautan Sedunia.
 
 
 
Pelbagai kaedah telah dilakukan oleh aktivis alam sekitar mengenai sambutan hari yang penuh bermakna itu, namun ia tidak mampu menghalang pencemaran laut daripada terus berulang.
 
 
 
Jika kita berada di pesisir pantai, pasti akan menjumpai sisa plastik seperti botol minum, straw, pembungkus makanan, polisterina dan lain-lain.
 
 
 
Sisa buangan ini seterusnya akan hanyut ke lautan dan akhirnya memberi kesan buruk kepada hidupan laut.
 
 
 
Jika kita tidak pedulikan pencemaran laut, sisa buangan ini dianggap sebagai makanan oleh spesis-spesis tertentu yang menyebabkan kitaran ekosistem marin terjejas teruk akibat daripada kepupusan.
 
 
 
 
 
Oleh sebab itu wujudnya Hari Lautan Sedunia (World Oceans Day) bagi mengingatkan serta memberi kesedaran tentang betapa pentingnya menjaga dan memelihara laut dan lautan kerana ianya adalah sebahagian daripada kehidupan kita. 
 
 
 
Disebabkan itu wujudnya tarikh khas bagi menghargai serta menyebarkan kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar agar ekosistem marin kekal lestari.
 
 
 
Selain itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang memfokuskan bidang marin dan sumber akuatik sering mempromosikan kempen penjagaan alam sekitar.
 
 
 
Bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia kali ini, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menyebarluaskan kefahaman mengenai ekosistem alam terutamanya kelestarian lautan.
 
 
 
Sebagai tanggungjawab sosial universiti (USR), INOS UMT menganjurkan beberapa program selama seminggu bermula 6 Jun 2022.
 
 
 
Minggu yang dinamakan sebagai World Oceans Week (WOW22) disajikan dengan pelbagai program seperti pameran, beach clean-up, Kejohanan Beach Soccer, Bengkel anyaman ketupat, Pertandingan mewarna Bertemakan lautan dan lain-lain.
 
 
 
Penganjuran kali ini turut mendapat perhatian daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Kolaborasi sambutan ini dilihat menepati objektif kedua-dua entiti, iaitu berkisar kepada Kelautan. Secara tidak langsung ia mengeratkan lagi hubungan kerjasama antara kedua-dua agensi berfokus maritim berkenaan.
 
 
 
Penganjuran WOW22 ini sekaligus dapat mendekatkan masyarakat dengan sains dan diharapkan agar program seperti ini mampu mengubah serta mengurangkan ancaman terhadap lautan demi kehidupan yang lestari.
 
 
 
 
 
Dikeluarkan oleh :
 
 
 
Pejabat Komunikasi Korporat
 
Universiti Malaysia Terengganu