UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Pasangan kembar daftar pelajar baharu UMT

Pasangan kembar daftar pelajar baharu UMT

Monday, 02/10/2023

Share This Article :

Pasangan kembar seiras teruja apabila bersama- sama mendaftarkan diri sebagai pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi sesi akademik 2023.

Ling An,20, dan pasangan kembarnya, Ling Qin merupakan antara 2,200 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda bagi sesi pendaftaran kali ini.

Menurut Ling An yang mengambil jurusan Sarjana Muda Perakaunan, jenama UMT tidak asing lagi bagi dirinya dan menganggap kampus itu sesuai untuknya menyambung pengajian.

“Hari ini bukan kali pertama saya masuk ke UMT. Abang saya dah pernah belajar di sini untuk pengajian Diploma Perikanan dan kini dia sedang belajar di UMT untuk program sarjana.

“Lagi pun, abang kembar saya juga bekas pelajar UMT untuk program Diploma Perikanan dan hari ini dia mendaftar sebagai pelajar jurusan Sarjana Muda Sains Akuakultur (Dengan Kepujian). Jadi, hari ini hanya saya dan abang kembar yang datang untuk uruskan proses pendaftaran kami tanpa keluarga.

Katanya, suasana kampus UMT yang mendamaikan serta berdekatan dengan pantai memberikan ketenangan buat pasangan itu untuk memilih UMT sebagai universiti pilihan.

“Memang kami dah rancang sejak awal lagi untuk belajar di UMT dan strategi pilihan yang kami buat dalam UPU akhirnya berjaya.

“Terima kasih UMT kerana memilih kami sebagai pelajar di sini dan kesempatan ini akan kami manfaatkan sebaiknya. Kami berazam untuk dapat pakai selempang emas pada majlis konvokesyen akan datang dan akan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi jika diberi peluang”. Katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar UMT yang berjaya menerima tawaran di UMT.

“Alhamdullillah, semuanya berjalan baik dengan jumlah pendaftaran sebanyak 2,200 pelajar baharu. Tahniah diucapkan buat semua pelajar.


“Syabas buat kesemua petugas Warga UMT Cemerlang sekalian yang bertungkus-lumus memastikan urusan pendaftaran pelajar hari ini berjalan dengan baik.

“Kita mengalu-alukan kehadiran pelajar baharu yang mendaftar bagi sesi akademik 2023. Ayuh sama-sama menjadi sebahagian daripada Warga UMT Cemerlang dan beriltizam mencipta kecemerlangan demi masa depan yang gemilang”. Katanya