UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Turtle Lab medium kempen pemuliharaan penyu kepada komuniti, pelancong

Turtle Lab medium kempen pemuliharaan penyu kepada komuniti, pelancong

Wednesday, 03/11/2021

Share This Article :

Sebuah makmal penyu bersaiz mini yang diwujudkan di Lobi The Taaras Beach & Spa Resort, Pulau Redang bukanlah makmal yang biasa.

 

Makmal Penyu atau Turtle Lab itu terhasil daripada cetusan idea dan kolaborasi erat antara antara Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama Berjaya Corporation Berhad.

 

Jika disingkap kembali, UMT merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang amat mengambil berat berkaitan haiwan penyu sejak awal 1990-an. Malangnya, spesis itu kian diancam kepupusan dek kerakusan sebilangan kecil dalam kalangan orang awam yang menjadikan spesis itu sebagai hidangan eksotik selain digunakan dalam penghasilan aksesori.

 

Selain itu, permintaan telur penyu yang tinggi di pasaran gelap juga menjadi faktor utama bilangan penetasan penyu menurun.

 

Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh pihak UMT melalui Sea Turtle Researh Unit (SEATRU) dalam memastikan spesis itu masih wujud pada masa akan datang.

 

Dengan kewujudan Turtle Lab di Pulau Redang, usaha pemuliharaan penyu tidak hanya berfokus kepada masyarakat setempat, malah ia bertindak sebagai pusat penyebaran maklumat berkaitan kepentingan pemuliharaan penyu bagi kestabilan ekosistem marin kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

 

Usaha itu juga mendapat sokongan padu daripada daripada pemilik syarikat tersebut, Tan Sri Dato Vincent Tan, terhadap usaha konservasi penyu yang dijalankan oleh SEATRU.

 

Pihak SEATRU juga mewujudkan inisiatif pembelian telur penyu yang dijual oleh penduduk setempat bagi tujuan mengelakkan daripada telur tersebut dijadikan hidangan, sebaliknya dieram demi mengekalkan kelestarian populasi penyu. Usaha itu kian mendapat perhatian pihak kerajaan sehingga pantai berkenaan berjaya diwartakan sebagai Santuari Penyu Chagar Hutang pada tahun 2005 atau lebih dikenali sebagai Stesen Penyelidikan Alami Penyu (SPAP), Pantai Chagar Hutang.

 

Makmal UMT di Pulau Redang merupakan satu keperluan bagi memudahkan aktiviti penyelidikan dijalankan berikutan keadaan di Stesen Penyelidikan Penyu Chagar Hutang kekurangan fasiliti dan kemudahan elektrik untuk melancarkan kecekapan usaha-usaha penyelidikan.

Melihat kepada aspek penyelidikan, Turtle Lab telah menjadi medium kepada para penyelidik SEATRU untuk mempunyai pelbagai variasi bidang kajian. Kemudahan dari segi fasiliti di makmal itu telah menarik penyelidik luar untuk menjalinkan kolaborasi strategik dalam menjalankan penyelidikan mereka.

 

Selama tiga tahun penubuhan Turtle Lab, seramai lebih daripada 5,700 individu dari 36 buah negara telah berkunjung ke makmal itu.

 

Melihat kepada penerimaan yang tinggi daripada orang ramai dalam usaha konservasi penyu, SEATRU mengambil kesempatan dengan menghasilkan produk sendiri yang dikenali sebagai BatiKita, berteraskan batik asli Terengganu yang mempunyai motif penyu yang mendapat suntikan daripada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Wakaf Tapai dan pengusaha batik tempatan.

 

Keberhasilan makmal itu dalam menghubungkan orang ramai dengan sains penyu amat membanggakan melalui sokongan pelancong yang berterusan dalam program sukarelawan penyu yang dijalankan pada setiap tahun.

 

Selain daripada pelancong luar, komuniti setempat iaitu penduduk Kampung Pulau Redang juga tidak ketinggalan untuk mengunjungi Turtle Lab. Program tahunan Kem si Penyu yang dijalankan oleh SEATRU bersama Sekolah Kebangsaan Pulau Redang (SKPR) memberi peluang kepada pelajar merasai pengalaman di Turtle Lab dalam melihat saintis menjalankan penyelidikan terhadap haiwan tersebut.

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

Tel: 09-668418/4261