UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PROGRAM SENTUHAN KASIH MAHASISWA @KPT PRIHATIN BELA NASIB MAHASISWA

PROGRAM SENTUHAN KASIH MAHASISWA @KPT PRIHATIN BELA NASIB MAHASISWA

Sunday, 03/10/2021

Share This Article :

Kuala Nerus, 3 Oktober 2021- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) amat berbesar hati menerima kunjungan YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi ke Program Sentuhan Kasih Mahasiswa @KPT Prihatin di Terengganu pada hari ini.

Dalam program ini, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad telah menyempurnakan Program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa @KPT Prihatin melibatkan tujuh mahasiswa yang terpilih di daerah Kuala Terengganu.

Menurut Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pelaksanaan program ini adalah bertujuan untuk memperkasa kebajikan dan memupuk semangat kesukarelawan yang tinggi dalam kalangan warga IPT dan KPT. Program ini turut mendapat kerjasama agensi seperti PTPTN serta universiti-universiti awam iaitu UKM, UTHM, UTM, UiTM, UPNM, UPM, UniSZA dan UMT.

Tambah Datuk Seri Dr. Noraini lagi, melalui program ini sebanyak 22 buah rumah pelajar telah disantuni dan telah diadakan sesi penyerahan Surat Tawaran Kemasukan Sesi 2021/2022, Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) dari PTPTN, Akaun SSPN dan biasiswa yang meliputi elaun wang saku, yuran pengajian, yuran penginapan dan tambang penerbangan.

Tiga daripada 22 buah rumah yang disantuni tersebut adalah pelajar UMT. Jeslina binti Mohd Sabri Lee mahasiswa tahun pertama jurusan Sarjana Muda Sains Gunaan Nanofizik Dengan Kepujian amat bertuah kerana telah dikunjungi YB Menteri serta dijadikan anak angkat YB Menteri berkenaan.

Menurut anak sulung daripada lima beradik ini, ayahnya bekerja sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur dengan gaji RM950 sebulan manakala ibunya pula bekerja sebagai Jurujual di Terengganu dengan gaji RM1200 sebulan.

Ujarnya lagi ibu bapanya telah pun berpisah sejak umurnya lapan tahun dan dia bergantung pada bantuan pelajaran sejak sekolah rendah lagi atas asbab masalah kewangan.

“Saya percaya saya mampu mengubah hidup keluarga saya suatu hari nanti. Oleh itu, saya sentiasa melakukan yang terbaik dalam akedemik dan melibatkan diri dalam pelbagai program”. Katanya mengakhiri perbualan.

Jeslina turut menerima bantuan computer riba, wang saku RM1,000, bantuan pelan data RM120+ RM 200 (KPT BAUCER), Dermasiswa Zakat RM300 serta bantuan Dapur bernilai RM150.

Selain daripada itu dua lagi mahasiswa UMT, Abdul Hakim bin Yahya mahasiswa Sarjana Muda Sains Gunaan (Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti) dan Nur Ain Farhana binti Mohd Ariffin, Sarjana Muda Sains (Sains Biologi) turut menerima sumbangan yang sama pada hari berkenaan.

Hadir sama semasa sesi kunjungan ini ialah Prof. Dr. Mazlan Abd Ghaffar Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Fadzli bin Adam, Naib Canselor (Menjalankan Fungsi) UniSZA, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Profesor Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi serta Ts. Zainab binti Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti.

Sebelum turun padang ke Program Sentuhan Kasih Mahasiswa @KPT Prihatin YB Menteri berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke UMT pada sebelah pagi yang tertumpu di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) yang menjadi Pusat Tanggungjawab (PTj) pertama di UMT bagi program HICoE (2012-2021). YB Menteri juga sempat melawat Hatcheri AKUATROP dan menandatangani plak tahniah kepada UMT atas penarafan baharu sebagai HICoE dalam bidang “Future Food: Sustainable Shellfish Aquaculture”.

YB Menteri turut berpeluang melancarkan buku “Universiti Malaysia Terengganu Prihatin: Mengharungi Cabaran Pandemik COVID-19 (18 Mac – 31 Mei 2020)” dan “Perjuangan yang Belum Selesai: Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMT Mendepani Cabaran COVID-19” serta buku “Strengthening Government-University-Industry and Community Collaboration”.

Selain pelancaran buku, YBM turut menyaksikan Pertukaran Dokumen Memorandum of Understanding (MoU) antara UMT dan Sina Resources Sdn Bhd bagi pengkomersialan Mannheimia Haemolytica Intranasal Spray Vaccine (KustemVax) yang diadakan di Auditorium INOS, UMT.

Untuk rekod, KUSTEMVax merupakan hasil R&D/ inovasi yang dibangunkan oleh Penyelidik UMT, Prof. Dr. Mohd Effendy Abd. Wahid dari Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM).

Menurut Prof. Dr. Mazlan Abd Ghaffar Naib Canselor UMT, hasil penyelidikan ini telah didaftarkan sebagai Harta Intelek dalam kategori ‘Paten’ oleh pihak Universiti di MyIPO.

Tambahnya lagi melalui kolaborasi ini, UMT akan melesenkan hak Harta Intelek “KUSTEMVax” kepada pihak Syarikat SRSB pada fi dan tempoh yang akan dimuktamadkan kelak.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat (PKK)

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)