UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT tersenarai di dalam 200 Universiti Terbaik Asia

UMT tersenarai di dalam 200 Universiti Terbaik Asia

Wednesday, 25/11/2020

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT), buat pertama kali tersenarai di kelompok 200 universiti terbaik Asia berdasarkan Laporan QS Asia University Rankings 2021. UMT melonjak kepada kedudukan 195 iaitu meningkat sebanyak 48 tangga berbanding penarafan tahun lepas. Ini merupakan pencapaian terbaik UMT sepanjang penubuhannya.

 

QS Asia University Rankings menilai universiti di Asia melalui 11 petunjuk diantaranya reputasi, penyelidikan dan pengantarabangsaan. Apa yang lebih membanggakan, UMT menunjukkan peningkatan ketara bagi 10 daripada 11 petunjuk yang dinilai.

 

Pencapaian ini juga memberi gambaran bahawa UMT diiktiraf oleh akademia antarabangsa dan juga industri memandangkan penarafan QS melibatkan tinjauan daripada kedua-dua pihak.

 

Kedudukan 195 Asia ini dicapai seiring dengan sasaran kedudukan 200 Asia seperti yang ditetapkan di dalam Pelan Strategik UMT 2018-2022 (PSUMT) bagi tahun 2020.

 

PSUMT merupakan rujukan utama yang mengandungi strategi menyeluruh bagi meneruskan kecemerlangan UMT sebagai sebuah universiti yang memfokuskan ilmu kelautan dan sumber akuatik.

 

Kedudukan UMT di kalangan 200 universiti terbaik Asia dilihat mampu menarik lebih ramai pelajar antarabangsa, meningkatkan kolobrasi bersama penyelidik luar negara dan memperluaskan jaringan kerjasama dengan industri. Di samping itu, pencapaian ini menonjolkan keterlihatan citra UMT di peta dunia.

 

Pencapaian ini merupakan satu pengiktirafan kepada hasil usaha warga UMT yang menunjukkan budaya kerja yang tinggi mutunya disamping komited di dalam memastikan strategi PSUMT yang direncana dapat dilaksanakan dengan baik.

 

Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar menyatakan UMT akan terus melaksanakan strategi-strategi yang telah dirangka bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

 

“Pemerkasaan berterusan terhadap penyelidikan, pengajaran, pengantarabangsaan dan citra universiti akan terus menjadi tumpuan utama UMT bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan penarafan tetapi juga pemegang-pemegang taruh yang lain seperti mana terkandung di dalam pelan strategik universiti”.

 

“UMT percaya perlu ada keseimbangan di antara pencapaian di dalam penarafan antarabangsa dan juga keperluan memenuhi matlamat utama penubuhan sesebuah universiti dalam penyebaran dan penciptaan ilmu”.