UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT tanam semula batu karang, langkah pemuliharaan ekosistem marin

From Google

UMT tanam semula batu karang, langkah pemuliharaan ekosistem marin

Sunday, 11/06/2023

Share This Article :

Terumbu karang merupakan ekosistem semulajadi yang terbentuk di dasar laut dan menariknya ia dikategorikan sebagai haiwan. Hidupan unik itu berfungsi sebagai pelindung kepada pantai daripada hentaman ombak yang kuat.  Selain itu, terumbu karang juga penting kepada anak-anak ikan kerana persekitarannya yang selamat dan juga mempunyai sumber makanan.

Menurut kajian yang diterbitkan oleh proceedings of the  royal of society journal mendedahkan sebahagian daripada terumbu karang terbesar dunia iaitu Great Barrier Reef sudah mati sejak tahun 1995 lagi akibat daripada peningkatan suhu air laut dan perubahan iklim.

Keadaan bertambah rumit apabila kemudahan besar turut berlaku akibat ekosistem itu mengalami pelunturan skala besar (coral bleaching) pada tahun 2016-2017 yang meranapkan kira-kira dua pertiga daripada terumbu karang secara keseluruhan. Malah pelunturan itu terus berlaku sehingga kini!.

Peningkatan suhu laut juga memberi tekanan kepada hidupan itu menyebabkan berlaku pelunturan dan kematian batu karang.

Selain itu, keseimbangan nilai asid-alkali yang tidak seimbang turut menjadi faktor gangguan kepada ekosistem terumbu karang untuk terus kekal lestari.

Sebagai langkah pemuliharaan ekosistem itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menggandakan usaha dengan mengadakan libat urus bersama-sama agensi korporat untuk menyebarkan kepentingan penjagaan lautan kepada masyarakat.

Bersempena dengan sambutan Hari Lautan Sedunia yang di sambut dunia pada 8 Jun setiap tahun, UMT berkolaborasi dengan pihak Aquaria KLCC menganjurkan Ekspedisi Pemuliharaan Karang bertempat di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong, Terengganu.

Program julung kali dianjurkan itu mendapat perhatian kira-kira 40 sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan pekerjaan.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar ketika ditemui berkata, program yang dianjurkan itu amat baik sebagai langkah berkesan dalam usaha pemuliharaan karang-karangan yang kini telah mengalami kemerosotan.

“Kami di UMT sememangnya menggalas tanggungjawab dalam Pemuliharaan ekosistem dan alam. Kempen kesedaran penjagaan alam sekitar telah bermula sejak beberapa dekad lalu dan ia bukan sesuatu yang mudah dalam mendidik masyarakat ke arah itu.

“Usaha ini perlu digerakkan secara bersama dan digalas oleh semua pihak agar keberkesanannya dilihat lebih cepat supaya proses Pemuliharaan ekosistem alam semula jadi ini dapat berlaku dalam tempoh lebih singkat.

“Ekosistem alam yang lestari menyumbang kepada kesejahteraan kehidupan kita bersama dan untuk generasi akan datang”.

Projek Ekspedisi yang dilancarkan di Aquria Kuala Lumpur itu turut menerima dana berjumlah RM200000 bagi menggerakkan aktiviti Pemuliharaan Karang dan penyebaran kempen kesedaran.

Sementara itu, Pakar Karang Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, Prof. Madya Dr. Tan Chung Hong menyifatkan ketidakstabilan suhu air laut akibat cuaca panas memberi kesan buruk kepada batu karang.

“Kalau keadaan cuaca panas berlaku secara berpanjangan, batu karang akan mati. Jika suhu laut kembali pada keadaan normal dalam tempoh kurang dua minggu, batu karang akan mengalami proses pemulihan dan warnanya akan kembali seperti asal.

Tambahnya, kadar tumbesaran batu karang sangat perlahan dan ia mengambil masa kira-kira satu tahun bagi mencapai kepanjangan 10 sentimeter.

Beberapa aktiviti yang dijayakan seperti taklimat penjagaan alam sekitar, sesi perkongsian daripada penyelidik karang UMT, pengenalan penanaman semula karang dan lain-lain.