UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Warga makmal perlu tingkatkan kemahiran seiring perubahan teknologi

Warga makmal perlu tingkatkan kemahiran seiring perubahan teknologi

Tuesday, 29/11/2022

Share This Article :

Sains dan teknologi dilihat sebagai satu perkara yang prima dalam kehidupan manusia sejak memasuki abad ke 21. Perkembangannya dilihat tumbuh ibarat cendawan selepas hujan ditambah pula kos penggunaannya semakin berpatutan dan dikomersialkan sesuai dengan kehidupan manusia.

Perkembangan teknologi kini mungkin disokong oleh ekosistem yang seimbang yang mungkin tidak ditawarkan pada zaman dahulu. Kini, kemajuan yang pesat dirai malah menjadi perlumbaan antara negara-negara maju untuk menjadi peneraju dalam bidang tersebut seterusnya mengubah gaya hidup dan budaya.

Di sektor penyelidikan dan inovasi, perkembangan teknologi yang cepat telah menghasilkan pelbagai peralatan saintifik yang berupaya mengukur, membukti dan mengesahkan teori sains. Keupayaan perkhidmatan yang mampu disokong oleh makmal sentiasa berevolusi serta berkembang mengikuti peredaran zaman.

Oleh yang demikian, komuniti yang terlibat dengan penggunaan peralatan makmal atau juruteknologis perlu peka dengan perubahan teknologi semasa agar “keupayaan diri” sentiasa berevolusi seiring peredaran masa. Ini penting bagi memenuhi keperluan para saintis, penyelidik dan industri.

Antara elemen utama yang perlu diketahui oleh individu bergiat aktif dalam penggunaan peralatan makmal meliputi teknologi instrumentasi, kualiti & akreditasi makmal, teknik saintifik, elemen keselamatan dan lain-lain.

Program pemerkasaan perlu ‘dihidang’ kepada kumpulan ini untuk mengelakkan daripada dipinggir arus kemodenan yang akhirnya memusnahkan kompeten seorang pakar.

“Perkembangan teknologi menghasilkan pelbagai peralatan saintifik yang  sentiasa berevolusi serta berkembang mengikut peredaran zaman. Maka, staf di makmal perlu peka dengan perubahan teknologi semasa supaya peranan mereka dapat memenuhi keperluan para saintis dan industry”. Kata Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari, sempena Majlis Perasmian Seminar Inovasi Makmal Kebangsaan (NALIS 2022) yang diadakan di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata seminar NALIS 2022 merupakan satu wadah kepada warga kerja yang terlibat dalam bidang sains dan teknologi bagi meningkatkan  inovasi.

“Program seminar  ini menjadi platform yang interaktif kepada para penyelidik dan inventor untuk memperlihatkan hasil inovasi dan kreativiti yang dilaksanakan kepada masyarakat awam, terutamanya ahli sains dan pemain-pemain industri tempatan”.

Katanya, program pemerkasaan bakat itu dapat memantapkan perkhidmatan dan menjadikan diri mereka sebagai yang terbaik dan mampu meneruskan kecemerlangan ke peringkat yang tinggi dengan penghasilan inovasi cemerlang.

Pencapaian kemajuan sains dan teknologi perlu kesepaduan kumpulan pengendali makmal yang kompeten bagi menjalankan aktiviti kajian dan penyelidikan (R&D) demi menghasilkan produk inovasi terkini seterusnya menyumbang kepada negara ke tahap lebih baik.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu