UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PISM KONGSI TEKNIK PENYEMBELIHAN BINATANG KORBAN

PISM KONGSI TEKNIK PENYEMBELIHAN BINATANG KORBAN

Thursday, 08/08/2019

Share This Article :

Hari Raya Aidiladha, Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat islam di seluruh dunia. Perayaan ini merupakan perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri.

 

Aidiladha disambut pada hari ke-10, ke-11, ke-12 dan ke-13 bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan sama ada pada 10, 11, 12 atau siang 13 Zulhijjah, semua waktu ini dipanggil Hari Tasyrik.

 

Aidiladha ialah perayaan yang istimewa kerana perayaan ini merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.

 

Tetapi tahukah anda bagaimana cara penyembelihan ternakan korban?

 

Bagi merungkai persoalan ini, Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan taklimat Pengurusan Ternakan Korban & Keselamatan Daging terbuka kepada semua warga UMT terutamanya bagi yang menyertai ibadah korban pada tahun ini.

 

Menurut Pengurus Kompleks Abatoir Kuala Terengganu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Musa Mohammad berkata penyembelihan korban perlu mempunyai kemudahan-kemudahan yang bersesuaian untuk mengurangkan stress pada binatang tersebut.

 

“Beberapa teknik penyembelihan ternakan korban perlu dipatuhi seperti merebahkan ternakan, menggunakan tali yang bersesuaian, tapak sembelihan mestilah bersih, pisau yang tajam dan lain-lain”.

 

“Proses sembelihan hendaklah dilakukan dengan pantas. Penyembelihan ternakan korban perlu menitikberatkan aspek-aspek kebajikan dan mestilah patuh pada syariat”.

 

“Manakala sisa ternakan korban pula perlu diuruskan dengan baik mengikut peraturan pihak berkuasa tempatan dan sisa cecair pula perlu ditanam dan diuruskan dengan cara bersesuaian”.

 

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar turut mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua umat islam yang akan disambut pada 11 Ogos 2019.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu