KUALA NERUS – Career Entrepreneurship and Skills Festival 2019 (CESF’19) Universiti
Malaysia Terengganu (UMT) yang diadakan selama empat hari bermula 25 April 2019
mampu melahirkan lebih ramai bakal graduan yang mempunyai pekerjaan serta usahawan
yang berdaya saing serta berupaya menjana pendapatan sendiri selaras dengan kehendak
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
 
Bersempena CESF’19, turut dianjurkan tawaran kerjaya melalui temu duga terbuka dengan
kerjasama antara UMT dan rakan-rakan industri yang sedang mencari pekerja di pelbagai
sektor.
 
Sebanyak 25 industri yang terlibat di bahagian booth kerjaya manakala bahagian
keusahawanan telah membuka sebanyak 80 tapak jualan dan Berjaya mengumpulkan
peniaga yang terdiri dari para pelajar dan juga peniaga-peniaga aktif di sekitar negeri
terengganu.
 
Antara pengisian program pada penganjuran kali ini adalah seperti Industrial Talk, Forum
Kerjaya, pertandingan Real Business Challenge, Peluang Pekerjaan golongan OKU serta
penganjuran MyAgrosis Cup peringkat Kebangsaan.
 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Madya Ts. Dr. Che Mohd
Ruzaidi Ghazali dalam ucapannya berkata, CESF’19 adalah bertujuan untuk meningkatkan
kadar kebolehpasaran graduan Universiti disamping menghubungkan universiti bersama
industri.
 
“Selain itu, program ini dapat mengukuhkan strategi bagi meningkatkan kerjasama antara
universiti dan agensi serta mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan dan
seterusnya melahirkan graduan yang holistik, bercirikan keusahawanan dan seimbang”.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, YB. Datuk Wira Dr. Mohd Hatta
Ramli menegaskan, pelbagai kemudahan skim keusahawanan yang telah disediakan khusus
menggalakkan para graduan menceburi bidang keusahawanan.
“Peluang bagi mahasiswa untuk mendapatkan maklumat berkenaan pembiayaan perniagaan
seperti yang ditawarkan SME Bank, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan
Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) harus direbut oleh semua
mahasiswa.
 
“SME Bank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) melalui Program
Pembangunan Usahawan Siswazah (PPUS) turut menyediakan program pinjaman untuk
membantu golongan siswazah yang telah menamatkan pengajian atau telah bekerja dan
berminat untuk memulakan perniagaan tetapi kekurangan modal.
 
“Selain daripada pembiayaan keusahawanan, program Professional Training and Education
for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ) telah dilancarkan pada 28 Januari 2019 dan
merupakan satu program latihan keusahawanan dan kebolehpasaran bagi membentuk dan
membimbing para belia dengan kerjasama pakar industri dalam usaha melahirkan lebih
ramai usahawan (job creators) yang kompetitif dan bersedia ke pasaran global serta pencari
kerja (job seekers) yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri semasa”. Ujar
beliau ketika berucap merasmikan program CESF’19.
 
Penganjuran CESF’19 dianggarkan berjaya menarik lebih 5000 pengunjung sepanjang
tempoh penganjurannya.