UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Rakan media Terengganu dirai

Rakan media Terengganu dirai

Wednesday, 20/09/2023

Share This Article :

Pengamal media negeri Terengganu diraikan dalam majlis santai Naib Canselor UMT Bersama Media anjuran Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Lebih istimewa, majlis yang diadakan itu bertemakan buah-buahan tempatan sempena memanfaatkan musim buah yang sedang meranum seperti raja buah, duku, langsat, rambutan, manggis dan lain-lain.

Pro Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat, Jaringan Industri dan Masyarakat) UMT, Prof. Dr. Fauziah Abu Hasan menyifatkan penganjuran itu sebagai penghargaan yang dizahirkan oleh UMT kepada pengamal media atas peranan yang dimainkan dalam membantu meningkatkan citra UMT.

“UMT amat berterima kasih kepada pengamal media khususnya agensi media terengganu atas sumbangan dan sokongan berterusan dalam membantu UMT mengadakan liputan samada melalui medium media cetak, elektronik serta media baharu seperti media sosial.

“Kami di UMT menghargai peranan media dalam melonjakkan citra UMT diperingkat nasional dan antarabangsa dan majlis ini dianjurkan khas untuk meraikan rakan-rakan media agar hubungan baik yang terjalin selama ini kekal utuh”.

Dalam majlis yang sama, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata pelbagai inovasi yang telah dihasilkan oleh penyelidik UMT yang perlu diketengahkan kepada pengetahuan umum untuk dimanfaatkan.

“Kesempatan ini juga, saya ingin kongsikan perkembangunan baharu berkaitan kepakaran yang dimiliki INOS UMT iaitu Sistem Ramalan Marin Malaysia (MFAST), sebuah produk inovasi yang pertama seumpamanya di Malaysia dibangunkan bersama dengan Institut Oseanografi Pertama (FIO), China dan Hidrokinetik Technologies Sdn Bhd. dengan menawarkan data ramalan 3 jam selama 5 hari, dengan data keluaran resolusi tinggi kira-kira 4km, meliputi parameter penting seperti angin, ombak, arus, suhu, kemasinan dan ketinggian permukaan laut.

“Selain itu, UMT juga menawarkan khidmat pangkalan data yang dinamakan sebagai Turtle Imprinting Database System (TIDES), produk baharu berasaskan herba iaitu Teh Lega, Teh Lerai, Teh Imbang, Teh Tenang dan Teh Urai.

“UMT mengalu-alukan pengamal media untuk berinteraksi dengan penyelidik terlibat bagi mengetahui maklumat penting mengenai produk-produk yang dihasilkan untuk diterjemahkan pada masyarakat agar hasil penyelidikan yang dijalankan di UMT dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara”. Katanya.

Turut hadir ke majlis santai itu iaitu Pemangku Presiden Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT), Mohd Ishak Abdillah Ngah, wakil-wakil biro media serta media baharu, Amazing Terengganu.