UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Pelajar PUSAT ASASI STEM lakar sejarah buat UMT!

Pelajar PUSAT ASASI STEM lakar sejarah buat UMT!

Thursday, 02/03/2023

Share This Article :

Sekumpulan pelajar Asasi STEM dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memahat sejarah selepas melangkah ke peringkat akhir dan muncul sebagai Naib Juara buat julung kali sepanjang penubuhannya.

Sebanyak 44 pasukan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu daripada 13 institut pengajian tinggi (IPT) dan matrikulasi seluruh negara, telah bersaing merebut piala pusingan Pertandingan Debat Inter Asasi Universiti Awam 2023 pada minggu yang lalu. Pertandingan itu berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 18 & 19 Februari, secara bersemuka bagi pusingan separuh akhir dan akhir.

Pusingan akhir kategori Bahasa Inggeris memperlihatkan saingan sengit antara dua pasukan dari Universiti Malaya A dan Universiti Malaysia Terengganu. Dengan usul bertajuk ‘This House Believes That Parents Should Raise Their Children to Prioritise Collectivism over Individualism’, Universiti Malaya A diumumkan sebagai Johan Pertandingan Debat Inter Asasi 2023. Meski UMT dinobat Naib Juara, kemenangan ini adalah cukup besar dan bermakna bagi pendebat utama UMT, Muhammad Haziq Irfan Bin Azman, Muhammad Adam Bin Kamarul Azman, Muhammad Aiman Syauqi Bin Mohamad Zaini Dan Muhammad Hazeezur Bin Abdul Rauf.

“Kemenangan ini adalah satu kejayaan yang istimewa bagi kami, namun pengalaman dan perjalanan kami untuk sampai ketahap ini adalah jauh lebih berharga” kata Muhammad Haziq Irfan mewakili rakan debatnya yang lain.

Pertandingan Debat Inter Asasi Universiti Awam adalah acara tahunan anjuran Majlis Asasi Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam yang menghimpunkan barisan pendebat yang merupakan pelajar Asasi dan Matrikulasi. Ia mula diperkenalkan pada tahun 2020 menggunakan format debat ala parlimen dengan objektif utamanya untuk mengetengahkan bakat, mengasah kemahiran pengucapan awam dan seni orator dalam kalangan pelajar asasi/matrikulasi.

Sementara itu, Pengarah Majlis Asasi Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam, Prof. Madya Dr. Laili binti Haji Che Rose, juga merupakan Pengarah di Pusat Asasi STEM, UMT berkata pertandingan debat yang sudah memasuki edisi ketiga itu dapat membudayakan amalan berfikir secara kritis dan analitikal dalam kalangan pelajar dan berharap agar penganjuran ini akan diteruskan pada masa akan datang.